Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Masjid Darul Syakirin dibersihkan


Caption: UNTUK ALBUM...Sebahagian daripada peserta sedang bergambar kenangan sebelum bermulanya aktiviti membersihkan Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah Sri Aman kelmarin

SRI AMAN, Rabu (18 Julai) – Penduduk Kampung Muhibbah, Sri Aman turut tidak ketinggalan untuk menyerikan lagi ketibaan sambutan Bulan Ramadhan pada bulan ini dengan mengadakan aktiviti membersihkan Masjid Darul Syakirin di sini kelmarin.

Jurucakapnya Ramli Abu Sera berkata aktiviti gotong-royong membersihkan Masjid Darul Syakirin terbabit telah melibatkan sejumlah 70 orang peserta dari pelbagai agensi kampung berkenaan.

“Mereka yang terlibat dalam aktiviti ini terdiri daripada para ahli Rakan Muda, JKKK, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari lima buah zon dalam Kampung Muhibbah Sri Aman.

“Aktiviti gotong-royong membersih dan memperindahkan Masjid Darul Syakirin ini telah dimulakan pada jam 7.30 pagi sehingga ia berakhir kira-kira tiga jam kemudian,” menurut beliau.

Selain itu aktiviti terbabit bukan kali pertama dianjur oleh pihak pengurusan Masjid Darul Syakirin Kampung Muhibbah Sri Aman memandangkan ia merupakan aktiviti bulanan pihak masjid berkenaan sebelum ini.

Perbezaannya menurut Ramli adalah aktiviti gotong-royong kali ini dilihat amat bermakna memandangkan Bulan Ramadhan bakal disambut oleh semua umat Islam termasuk di Kampung Muhibbah tidak lama lagi.

“Justeru pihak kita akan mengadakan aktiviti seperti ini demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dikalangan ahli Rakan Muda, JKKK, KRT dan SRS dari lima buah zon dalam Kampung Muhibbah Sri Aman di masa akan datang,” katanya.

Pengerusi Masjid Darul Syakirn Kampung Muhibbah, Haji Ahmad bin Yak dan Imam I Masjid Darul Syakirin, Haji Wan Masra Tunku Udin turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong tersebut.

Tamat.



No comments:

Post a Comment