Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Jambatan Gantung Sungai Engkeramong siap dibina


Caption: RASMI...Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Haji Len Talif sedang memotong reben sebagai simbolik perasmian Jambatan Gantung Sungai Engkeramoh sambil disaksikan oleh Menteri Muda Pembangunan Komuniti, Datuk Peter Nansian, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau dan Pengarah Hutan Sarawak, Haji Ali Yusop pada majlis itu Ulu Engkari, Lubok Antu kelmarin.

BATANG AI, Sabtu (14 Julai) – Penduduk dalam kawasan Lubok Pantu dan Ulu Engkari di Lubok Antu kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan telah siap membina jambatan gantung yang merentangi Sungai Engkeramoh semenjak bulan Ogos tahun lepas.

Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Haji Len Talif berkata projek jambatan gantung sepanjang 30 meter itu telah dibiayai oleh International Tropical Timber Organization (ITTO) dengan kerja pembinaannya dilakukan oleh Jabatan Hutan Sarawak.

“Kerja pembinaan jambatan gantung yang merentangi Sungai Engkeramoh di Lubok Antu ini telah bermula 12 Julai tahun lepas hingga ia siap pada 12 Ogos pada tahun yang sama.

“Saya berharap agar penduduk dari Rumah Jaong, Lubok Pantu tidak perlu lagi berjalan kaki merentasi sungai untuk menghantar anak-anak ke sekolah berdekatan dengan adanya kemudahan jambatan gantung tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jambatan Gantung Sungai Engkeramoh dan Pondok Rehat Sistem Tagang yang berlangsung di Ulu Engkari, Lubok Antu kelmarin.

Selain itu kerajaan kata Len juga turut membina sebuah pondok rehat bagi mempromosi kawasan sistem tagang Ulu Engkari kepada penduduk dari kawasan luar Lubok Antu selepas ini.

“Pondok rehat terbabit siap dibina pada 26 April tahun ini. Keseluruhannya, projek jambatan gantung dan pondok rehat berkenaan menelan kos pembinaan bernilai RM50,000,” katanya.

Justeru perlaksanaan projek berkenaan katanya secara tidak langsung telah membuktikan tanggungjawab sosial korporat yang telah ditunjukkan oleh pihak ITTO dan Jabatan Hutan Sarawak kepada penduduk di sini.

“Kejayaan perlaksanaan kedua-dua projek berkenaan juga secara tidak langsung telah membuktikan wujudnya kerjasama antara Kerajaan Negeri, ITTO, Jabatan Hutan Sarawak dan penduduk setempat di sini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Komuniti, Datuk Peter Nansian Ngusie, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dan Pengarah Hutan Sarawak, Haji Ali Yusop.

Tamat.

No comments:

Post a Comment