Mugshot:
1. BIAH...Tolak tanggapan negatif
2. ZAIDIE...Masih aman
3. MURA...Hargai kemakmuran
SRI AMAN, Rabu (27 Jun) – Pengiktirafan oleh World Justice Project terhadap Malaysia
sebagai salah sebuah negara yang paling selamat di kalangan 19 buah negara
berpendapatan sederhana tinggi pada Isnin lepas nyata dipersetujui ramai
penduduk di sini.
Bagi mereka pengiktirafan daripada badan antarabangsa itu tepat pada
masanya di kala Malaysia berhadapan dengan tanggapan negatif ramai pihak
berhubung insiden perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas.
Selebiah binti Pinuh, 22, dari Sibau Rimbau, Simunjan berpendapat insiden
perhimpunan Bersih selama ini telah menyebabkan ramai pihak memikirkan bahawa
Malaysia adalah sebuah negara yang tidak aman dan selamat.
“Lagipun Global Peace Index telah menempatkan Malaysia di tempat pertama
sebagai sebuah negara yang paling selamat di rantau Asia Tenggara manakala di
tempat keempat aman bagi rantau Pasific.
“Fakta terbabit sekaligus membuktikan bahawa Malaysia masih sebagai sebuah
negara yang aman tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh ramai pihak
berhubung faktor pergolakan politik selama ini,” katanya.
Manakala itu Zaidie Eddie Ibrahim, 41, dari Teluk Dusun Semabang pula berkata
insiden perhimpunan Bersih 3.0 hanya berlaku di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur
dan sekaligus tidak boleh dijadikan sebagai ukuran terhadap keamanan negara
ini.
“Saya sedar media luar negara mungkin menyiarkan sesuatu yang negatif
terhadap keamanan negara ini dengan mendedahkan insiden perhimpunan Bersih 3.0
pada akhir bulan April lepas.
“Tetapi saya yakin tanggapan seperti itu hanya bersifat sementara sebaik
sahaja World Justice Project telah mendedahkan fakta bahawa Malaysia adalah
antara negara yang paling selamat di dunia pada masa sekarang,” katanya.
Justeru Mura Liben, 40, dari Selantik Ili, Pantu berharap agar penduduk
menjadikan pengiktirafan terbabit sebagai semangat untuk mereka menjaga
keamanan dan kemakmuran negara dari masa ke semasa.
“Keamanan menjadikan politik negara kita stabil. Dari situ negara kita
termasuk negeri Sarawak akan terus menikmati arus pembangunan yang berkekalan
daripada kerajaan demi kebaikan semua penduduk di masa akan datang,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment