Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

TBS lancar Ops Fakir di Pantu


Caption: UNTUK MU... Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Syukri Haji Arshad sedang menyampaikan bantuan kepada pasangan Sahbudin dan Djuralita sambil disaksikan oleh Ketua Zon Selatan TBS, Shamshul Bahri Manap dan Imam Bahagian Sri Aman, Ustaz Annuar Mursadad kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (4 Julai) – Pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah memperhebatkan usaha mereka untuk membantu golongan penduduk miskin apabila melancarkan Operasi Jejak Fakir (Ops Fakir) di sini kelmarin.

Ops Fakir yang turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman telah membolehkan Sahbudin Dolmasra dan isteri, Djuralita Abdullah dari Punggu Mawang, Pantu iaitu mendapat bantuan sara hidup menerusi operasi itu.

“Ops Jejak Fakir ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti golongan fakir / miskin yang hidup kemelaratan dan sukar dikesan ekoran penempatan mereka yang agak jauh dari laluan perhubungan darat.

“Hasil siasatan kita mendapati bahawa pasangan Sahbubin dan Djuralita telah pun menerima bantuan sebanyak RM60 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata Ketua Zon Selatan TBS, Shamsul Bahri Manap.

Menerusi Ops Jejak Fakir berkenaan, pihaknya telah mendapati bahawa pasangan suami isteri itu tinggal di sebuah pondok usang dan menghabiskan sisa-sisa hidup tanpa mendapat bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Lebih menyedihkan kata Shamsul ialah apabila pihaknya mendapati bahawa struktur rumah yang didiami oleh pasangan suami isteri telah agak usang dan langsung tidak mempunyai kemudahan tandas.

“Keperluan makan minum pasangan tersebut bergantung sepenuhnya kepada hasil kebun kecil di atas tanah milik kerajaan disamping menggunakan air parit yang berdekatan bagi tujuan kegunaan harian.

“Justeru pihak TBS telah menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asasi dan seterusnya akan berusaha untuk membantu keluarga terbabit menerusi skim saraan hidup selepas ini,” katanya.

Beliau yang mengetuai operasi tersebut juga mohon agar ketua masyarakat untuk tampil memberitahu pihak TBS jika terdapat golongan fakir yang benar-benar memerlukan bantuan dari segi keperluan asasi agar tindakan selanjutnya dapat dilakukan selepas itu.

Turut hadir sama pada penyerahan bantuan tersebut adalah Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Syukri Haji Arshad dan Imam Bahagian Sri Aman, Ustaz Annuar Mursadad Haji Tajudin.

Tamat.


No comments:

Post a Comment