Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

1,600 laptop akan diagih di Parlimen Sri Aman Julai ini - Masir



Caption: SEIRING...Masir (tengah) bersama Harden (kiri) dan Daniel (kanan) ketika dalam perjalanan untuk merasmikan Gelanggang Komuniti 1 Malaysia di SK Paku kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (30 Jun) – Usaha untuk mengalakkan pengunaan Teknologi Komunikasi Dan Maklumat (ICT) dikalangan penduduk luar bandar akan terus dipertingkat dengan adanya pemberian Komputer Riba (Laptop) 1 Malaysia selepas ini.

Ia terbukti apabila sejumlah 1,600 buah unit Laptop 1 Malaysia bakal diagih kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), biro wanita rumah panjang dan pelajar di kawasan Parlimen Sri Aman bermula bulan Julai ini nanti.

“Saya ketika ini sedang mencari dan mengumpul senarai nama JKKK serta biro wanita rumah panjang yang layak untuk menerima Laptop 1 Malaysia berkenaan,” kata Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Beliau mengumumkan perkara ini ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Futsal Komuniti 1 Malaysia, Projek Jalan Kampung dan Menanam Pokok di Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Ulu Undop Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

Katanya para pelajar luar bandar juga akan berpeluang menggunakan Laptop 1 Malaysia ini jika JKKK atau biro wanita di rumah panjang menerima kemudahan terbabit daripada kerajaan.

Kemudahan tersebut kata Masir akan membolehkan para pelajar mempertajamkan teknik penggunaan komputer riba disamping mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing sekiranya rumah panjang mempunyai rangkaian Jalur Lebar (broadband).

“Pemberian Laptop 1 Malaysia ini adalah merupakan salah satu daripada usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mempertingkatkan kemudahan rakyat di bandar mahupun luar bandar selama ini.

“Justeru saya berharap agar rakyat menghargai pemberian kemudahan tersebut dengan menjadikannya sebagai satu platform bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan diri masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu majlis yang berlangsung di SK Paku, Ulu Undop Batu Lintang itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Hadir sama ialah ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Penolong Jurutera Bahagian, JKR Sri Aman, Noor Ismail, Guru Besar SK Paku, Daniel Sidi, Yang Dipertua PIBG SK Paku, Jampong Sabong, para ahli Majlis Daerah Sri Aman dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment