Caption: TAHNIAH... Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah menyampaikan sijil penyertaan
pertandingan futsal kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh ADUN
Engkilili, Dr Rayong, MP Lubok Antu, William Nyalau, MP Sri Aman, Masir Kujat
dan Menteri Muda Kebajikan, Lawson Chuat ketika berlangsungnya Majlis Makan
Malam PBB cawangan Engkilili di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.
SRI AMAN, Ahad (15 Julai) – Kehadiran ramai
penduduk untuk mendengar kempen parti pembangkang tidak boleh dijadikan sebagai
ukuran kekuatan mereka bagi memenangi sebuah kawasan parlimen pada pilihan raya
umum ini nanti.
Ini kerana kekuatan dan penerimaan sesebuah
parti politik di kalangan penduduk hanya akan dapat dibuktikan menerusi keputusan
undi pilihan raya tersebut kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas
Uggah Embas.
“Berdasarkan kepada pengalaman Pilihan
Raya Umum Negeri Sarawak yang lepas, pihak pembangkang seolah-olah yakin akan mampu
menakluki Bumi Kenyalang melalui kempen dan propaganda yang mereka war-warkan
sebelum itu.
“Namun setelah undi dikira
(pada pilihan raya negeri tersebut), ternyata pihak Barisan Nasional (BN) masih
berjaya mengekal majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta
oleh pemberita untuk mengulas perkembangan parti pembangkang di Sarawak pada Majlis
Makan Malam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Engkilili di Dewan
Suarah Sri Aman malam tadi.
Selain itu Uggah yang juga Naib Presiden
Kanan PBB berkata kemenangan BN pada pilihan raya negeri lepas juga membuktikan
bahawa penduduk sudah matang berfikir dalam menentukan pemimpin yang terbaik
untuk mereka.
Justeru beliau berharap setiap komponen
parti BN memperkuatkan jentera pilihan raya masing-masing dengan setiap ahli
parti menumpukan sepenuh tenaga dan komitmen bagi menghadapai cabaran pihak
pembangkang mulai sekarang.
”Usaha yang kuat juga disulami dengan keikhlasan membantu penduduk supaya BN terus kekal mendapat kepercayaan daripada para pengundi demi kesinambungan pentadbiran negara selepas ini,” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Muda Kebajikan,
Robert Lawson Chuat, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok
Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili, Dr Johnnical
Rayong Ngipa, Timbalan Ketua Cawangan PBB Engkilili, Richard Tawan Sedu dan
para pegawai kerajaan di sini.
Tamat.
Hi Bro...
ReplyDeleteKmk minta izin post story ktk tok dalam blog kmk k.
TQ.