Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Penduduk Pulau Seduku, Lingga terima bantuan air



Caption: IKHLAS...Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Haji Hamsein (kiri) sedang menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi KRT Pulau Seduku, Marais Terang (kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Zon Selatan TBS, Shamsul Bahri (kanan sekali) pada upacara ringkas penyerahan bantuan bekalan air di Lingga.

LINGGA, Selasa (3 Julai) – Masalah kemarau yang melanda negeri Sarawak pada masa sekarang telah menyebabkan penduduk di Penempatan Agropolitan Pulau Seduku, Lingga mengalami masalah kekurangan bekalan air semenjak dua bulan lepas.

Justeru pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman telah turun padang untuk menyumbang sejumlah 60 kotak air botol mineral kepada penduduk di situ bagi mengatasi masalah terbabit baru-baru ini.

Upacara ringkas penyampaian kesemua sumbangan tersebut telah pun disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Haji Hamsein Haji Atar kepada Pengerusi KRT Pulau Seduku, Marais Terang selaku mewakili penduduk kampung.

“Sumbangan terbabit sekaligus membuktikan keprihatinan pihak TBS dalam membantu mengatasi masalah penduduk yang dilanda masalah lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya musim cuaca kering pada masa sekarang.

“Justeru saya berharap agar tindakan TBS dijadikan sebagai satu contoh kepada lain-lain agensi kerajaan dan swasta dalam menghulurkan sumbangan kepada penduduk yang dilanda masalah,” kata Hamsein.

Beliau turut memberitahu bahawa Pejabat Residen Sri Aman sentiasa mengambil berat terhadap hal ehwal penduduk yang dilanda musibah dan berharap agar mereka menghubungi pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan selepas ini.

Terdahulu upacara ringkas penyampaian bantuan tersebut turut disaksikan oleh Ketua Zon Selatan, TBS iaitu Shamsul Bahri Manap sambil disaksikan oleh penduduk di penempatan terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment