Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Jangan fokus kepada pembincangan politik kata Nyalau kepada guru


Caption: TERIMA KASIH...Nyalau sedang menerima cenderamata berupa gambar daripada Baba sambil disaksikan oleh (dari kiri) Jack, Rayong, Jerlaing dan Mussen pada majlis itu hari ini.

LUBOK ANTU, Sabtu (30 Jun) – Para guru di kawasan Lubok Antu perlu memberi lebih banyak fokus terhadap keperluan pendidikan para murid seperti yang diamanahkan oleh kerajaan selama ini.

Namun jika para guru lebih gemar membincangkan hal politik maka ia boleh menjejaskan usaha pembangunan modal insan berkualiti negara selepas ini, kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

“Tugas guru sama ada mereka berada di bandar mahu pun luar bandar sebenarnya adalah untuk mendidik para murid yang berpotensi untuk menjadi warisan pembangunan negara kita pada masa akan datang.

“Justeru jadikanlah pendidikan sebagai isu perbualan utama dan bukannya politik. Dengan berbuat demikian para guru akan memperoleh idea mengenai langkah untuk mempertingkat prestasi pendidikan murid di sekolah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Hari Guru 2012 bagi peringkat Daerah Lubok Antu yang berlangsung di Kompleks Sukan Daerah Lubok Antu hari ini.

Selain itu Nyalau juga menyatakan kesediaan untuk membantu dan bekerjasama dengan para guru yang bertugas di Lubok Antu dari segi peruntukan kewangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tujuan peruntukan kewangan ini adalah untuk membolehkan para guru berkhidmat dengan lancar ketika melakukan tugas mereka sama ada di sekolah kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya.

Hadir sama ialah tetamu terhormat iaitu Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman dan Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu.

Terdahulu Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Guru Daerah Lubok Antu.

Tamat

No comments:

Post a Comment