Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Jangan biar Iban diperkotak-katikkan - Nyalau




Caption: SELAMAT DATANG... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak sedang bersalaman dengan ibubapa murid sebelum berlangsungnya Majlis Merarau di SK Nanga Menyebat, Engkilili hari ini.

ENGKILILI, Selasa (17 Julai) – Jangan biarkan kaum Iban diperkotak-katikkan dengan mudah oleh pihak lain dari segi soal politik selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Katanya sudah wujudnya tanggapan dikalangan pihak tertentu terutama sekali daripada pihak anti – Barisan Nasional (BN) yang menganggap bahawa masyarakat kaum Iban mudah dipergunakan bagi tujuan kepentingan politik masing-masing.

“Adalah lebih baik buat semua masyarakat Iban untuk terus bersatu-padu di bawah bumbung Barisan Nasional (BN) memandangkan ia parti yang memperjuangkan kebajikan hidup semua kaum selama ini.

“Jangan mudah mengikut telunjuk jari pihak pembangkang. Jika masyarakat Iban berpecah-belah disebabkan oleh faktor ini maka ia sekaligus menguatkan lagi andaian tersebut terhadap kaum kita,” menurut beliau.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau atau Makan Tengahari yang berlangsung di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menyebat, Ulu Lemanak, Engkilili hari ini.

Selain itu beliau juga mahu masyarakat kaum Iban di Parlimen Lubok Antu terus memilih BN sebagai parti penaung hidup mereka demi hala tuju pembangunan yang lebih cerah di kawasan ini pada masa akan datang.

“Jangan memilih pihak pembangkang yang hanya gemar mencaci dan mempersoalkan projek pembangunan kerajaan BN secara negatif kerana ia tidak akan memberi keuntungan apa-apa terhadap masyarakat.

“Justeru saya berharap agar masyarakat di kawasan Parlimen Lubok Antu bertindak bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) akan datang iaitu dengan memilih BN demi kebaikan hidup mereka selepas ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para Tuai Rumah agar tidak menerima kehadiran pihak pembangkang ke rumah panjang kerana kedatangan mereka hanya untuk memecah-belahkan mereka bersempena dengan pilihan raya akan datang.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu, Guru Besar SK Nanga Menyebat,  Patrick dan wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Insepktor Robert dan ketua kaum di sini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment