Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, July 19, 2012

Anak berani mati eksiden, cucu parah di Skim Skrang



Caption:

1. MENGGERUNKAN...Gambar menunjukkan kenderaan Myvi milik mangsa yang rosak terus selepas berlakunya kemalangan maut terbabit di Skim Skrang, Engkilili sekitar jam 3 petang hari ini.

2. MALANG...Mayat mangsa iaitu Tan dan Tay ditutup dengan suratkhabar sambil diperhatikan oleh penduduk di kawasan Skim Skrang sebaik sahaja berlakunya kemalangan itu hari ini.

ENGKILILI, Rabu (11 Julai) – Dua orang wanita maut manakala seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan serius apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Sri Aman / Betong hari ini.

Mangsa yang terkorban dalam kemalangan terbabit ialah Tan Ching Hong, 58, dan anak perempuannya, Tay Chon Pei, 37, dengan kanak-kanak perempuan iaitu cucu kepada Tan yang tidak diketahui namanya itu pula dilaporkan berusia enam tahun.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki oleh ketiga-tiga mangsa berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Betong di kawasan Skim Skrang, Engkilili sekitar jam 3 petang.

“Ketiga-tiga mangsa ini tinggal dari Engkilili. Sebelum kejadian terbabit Tan berhasrat mahu melawat salah seorang anak perempuan di Betong yang baru sahaja tiba dari Singapura.

“Punca sebenarnya kejadian ini tidak diketahui. Tapi kita percaya kenderaan yang telah dinaiki oleh mangsa berlanggar dengan kenderaan Hilux yang sedang dalam perjalanan pulang dari Bintulu menuju ke Kuching,” kata sumber.

Kejadian terbabit kata sumber dipercayai menyebabkan kedua-dua mangsa mati serta-merta di tempat kejadian dengan kanak-kanak perempuan tersebut mengalami kecederaan berupa patah di bahagian kaki kanan.

Kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan siasatan lanjut dengan kanak-kanak perempuan berkenaan pula dilaporkan sedang menerima rawatan lanjut di hospital tersebut.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi telah mengesahkan bahawa beliau ada menerima laporan berhubung kejadian kemalangan yang berlaku di kawasan Skrang, Engkilili terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment