Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Jayakan Gagasan 1 Malaysia - Harden


Caption: TERIMALAH...Dr Penguang (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Harden (kanan) sambil disaksikan oleh para wakil rakyat dan pegawai tinggi kerajaan ketika berlangsungnya majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (23 Jun) - Sambutan perayaan utama di negeri ini seharusnya dijadikan sebagai satu pentas oleh semua penduduk untuk menjayakan perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata ia penting agar kestabilan politik dapat diwujudkan dan seterusnya memacu pembangunan di negeri ini dengan lebih pesat.

"Anda boleh lihat perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Gawai Dayak atau Krismas menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum dan berlainan agama di negeri ini.

"Ia boleh mewujudkan hubungan perpaduan yang lebih erat di antara semua pihak ditambahi lagi dengan pengenalan Gagasan 1 Malaysia yang dilihat amat baik demi masa depan pembangunan negara termasuk negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 anjuran Pihak Berkuasa Tempatan Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mahu semua penduduk berbilang kaum dan agama agar bersatu-padu di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

"Kerajaan BN telah membuktikan keunggulan mereka dengan mewujudkan perpaduan kaum yang utuh di antara semua penduduk semenjak negara merdeka hingga sekarang.

"Justeru saya mengajak agar semua penduduk berbilang kaum dan agama di negeri ini untuk terus menyokong BN agar perpaduan seperti ini terus kekal demi kebaikan pembangunan negeri kita di masa akan datang," katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Pembangunan Komuniti, Dr Penguang Manggi, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh dan pegawai tinggi kerajaan.

Terdahulu terdapat sejumlah tujuh buah PBT di Zon Tengah Sarawak antaranya ialah Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Simunjan, Majlis Daerah Sri Aman, Majlis Daerah Lubok Antu, Majlis Daerah Betong dan Majlis Daerah Saratok.

Tamat.



No comments:

Post a Comment