Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 26, 2012

Kawasan Ulu Paku bakal terima RES - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Harden (tengah) sedang menerima cenderamata daripada Daniel (kiri) dan Jampong (kanan) sambil disaksikan oleh Sawing (belakang) dan Terence (kanan sekali) pada majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (25 Feb) – Projek penyambungan Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES ke sembilan buah rumah panjang dan sebuah sekolah di kawasan Ulu Paku, Undop Batu Lintang, Sri Aman sudah pun diluluskan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Menjunjung Kasih 2012 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Undop, Batu Lintang, Sri Aman malam tadi.

“Pihak kontraktor yang dilantik bagi tujuan perlaksanaan projek ini akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk dari sembilan buah rumah panjang berkenaan dalam masa terdekat ini,” katanya tanpa mendedahkan nilai keseluruhan kos projek tersebut.

Beliau juga turut menambah bahawa projek RES di kawasan Nanga Skrang juga sudah diluluskan dengan kedua-dua projek itu termasuk di Ulu Paku bakal dilaksanakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

Jika kedua-dua projek berkenaan sudah siap dilaksanakan kelak maka Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang kata Harden bakal diliputi dengan 95 peratus kemudahan RES selepas ini.

Terdahulu Harden ketika berucap pada majlis berkenaan mahu pihak Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) dan sekolah memberi lebih banyak fokus terhadap perlaksanaan aktiviti yang dapat mempertingkat prestasi akademik anak-anak.

“Lagipun bangunan baru bernilai RM75,000 yang telah siap dibina di SK Ulu Paku membuktikan bahawa keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kemudahan pendidikan di negara kita.

“Justeru saya berharap agar penduduk terus memberikan sokongan terhadap kerajaan BN dari masa ke semasa,” katanya sambil menambah bahawa sejumlah RM100,000 diperuntuk bagi projek naiktaraf kelas serta kuaters guru sekolah terbabit.

Harden menerusi majlis itu juga turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada SK Ulu Paku manakala RM5,000 lagi untuk Saint John Chapel, Ulu Paku, Batu Lintang.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Ulu Paku, Daniel Sidi, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Ulu Paku, Jampong Sadong, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, Inspektor Terence dan Kanselor Sawing Sumar.

Tamat.

No comments:

Post a Comment