Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

Masjid Darul Hijrah adakan pelbagai pertandingan sempena Maulidur Rasul



Caption: TAHNIAH...Hajah Nancy sedang menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang sambil disaksikan oleh tetamu khas ketika berlangsungnya majlis itu.

SIMUNJAN, Sabtu (11 Feb)  -   Jawatankuasa Pengerusan Masjid Darul Hijrah, Simunjan telah mengadakan Pertandingan Berzanji, Berzikir, Hadrah dan Nasyid sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H / 2012M Peringkat Daerah Simunjan baru-baru ini.

Aktiviti yang berlangsung di perkarangan Masjid Darul Hijrah, Simunjan dari 2 hingga 4 Februari itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu Hajah Nancy Haji Syukrie.

Beliau ketika berucap merasmikan majlis itu berkata aktiviti seperti ini mampu dijadikan sebagai landasan untuk menyatu-padukan semua ummah yang menjurus kepada perpaduan dikalangan mereka selepas ini.

Lagipun Nancy juga mengingatkan bahawa tanpa kesepakatan dan kerjasama masyarakat setempat dalam menganjurkan program seperti itu, sambutan Maulidur Rasul akan menjadi hambar dan sunyi.

Justeru beliau mengingatkan para ibu bapa agar sentiasa menggalakkan anak-anak mereka mendalami dan menghayati agama Islam agar budaya keagamaan tidak pudar di masa akan datang.

Terdahulu program selama tiga malam itu telah menarik penyertaan seramai 14  orang qari dan tujuh orang qariah bagi Pertandingan Berzanji, lima kumpulan qari dan sembilan kumpulan qariah bagi Pertandingan Berzikir.

Selain itu  sejumlah tujuh buah kumpulan Nasyid dan enam buah kumpulan Hadrah juga telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Nasyid mengikut kategori masing-masing.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Hajah Nancy sambil disaksikan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hijrah, Khalid Marzuki, Timbalan Pengerusi, Lembaga Kebajikan Islam Sarawak (LAKIS), Len Hj Sol, para pegawai kanan kerajaan dan ketua masyarakat di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment