Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, February 28, 2012

Jangan ubah kerajaan sedia ada - MOng


Caption: TERIMA KASIH...Mong sedang menerima cenderamata daripada Tr Sumping sambil disaksikan oleh Masir (tengah) ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

PANTU, Isnin (27 Feb) – Rakyat dalam kawasan luar bandar dinasihat agar tidak berniat mahu menukar Kerajaan Negeri yang sedia ada pada masa sekarang demikian menurut Menteri Muda Permodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang.

Katanya Kerajaan Negeri yang diteraju oleh komponen parti Barisan Nasional (BN) telah merancang pelbagai pelan pembangunan untuk rakyat menerusi Program Transformasi Kerajaan atau GTP semenjak dari dulu hingga sekarang.

“Bagaimanapun jika Kerajaan Negeri sedia ada sekarang diambil alih oleh pembangkang hasil tindakan rakyat maka segala pelan pembangunan yang sedang dirancang oleh BN untuk mereka akan hilang selepas itu,” katanya.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Kampung di Rumah Sumping Pagon, Ran Ulu Batu, Pantu kelmarin.

Selain itu beliau juga meminta rakyat dalam kawasan DUN Bukit Begunan yang menyokong BN pada pilihan raya negeri lepas agar memberi sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat pada pilihan raya umum akan datang.

“Kerajaan Negeri pada masa sekarang perlu terus dikekalkan oleh rakyat demi memastikan segala projek pembangunan yang dirancang oleh BN sebelum ini diteruskan seperti biasa selepas pilihan raya kelak.

“Justeru saya berharap rakyat menunjukkan kesetiaan mereka kepada kerajaan dengan mengundi Masir sekiranya beliau dicalon semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Bukit Begunan, Jessie Bintoh, para wakil jabatan kerajaan dan para ketua kaum di sini.

Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Sumping, RM5,000 untuk JKKK Rumah Gading (Ran Asal) dan RM5,000 untuk Rumah Meramat.

Manakala Masir menerusi majlis itu pula mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Sumping manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Terdahulu kerajaan telah pun siap membina jalan kampung dan sistem peparitan di kawasan perkampungan Ran, Pantu yang menelan kos sebanyak RM100,000 (RM80,000 untuk jalan, RM20,000 untuk parit).

Tamat.






No comments:

Post a Comment