Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, February 14, 2012

Jangan mudah merajuk kalau nama lulus tapi belum dapat BR1M- Nyalau


Caption: TERIMALAH...Nyalau sedang menyampaikan cek kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Rayong ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

ENGKILILI, Selasa (14 Feb) – Pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) khasnya dari kawasan Parlimen Lubok Antu dinasihat agar tidak mudah merajuk sekiranya mereka belum mendapat bayaran bantuan terbabit sehingga sekarang.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata pembayaran BR1M kepada pemohon yang lulus dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya secara sekaligus.

“Ada di antara mereka yang tidak faham dan tidak sabar. Permohonan mereka lulus tetapi apabila nama mereka belum tersenarai untuk menerima bayaran bantuan terbabit maka mereka merajuk.

“Pemohon BR1M yang lulus seharusnya bersabar. Jika dibayar pada peringkat pertama maka mereka akan dibayar pada peringkat kedua, ketiga dan yang seterusnya sehingga 16 April tahun ini,” katanya.

Penduduk yang gagal memohon BR1M ini kata Nyalau juga boleh mengemukakan kembali rayuan masing-masing untuk tujuan kelulusan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau sempena ulang tahun penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Shem Pesangu di dewan serbaguna Skim Skrang, Engkilili baru-baru ini.

Selain itu pemberian BR1M kepada penduduk kata Nyalau juga membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin dalam membela kebajikan hidup mereka selama ini.

Justeru beliau berharap agar penduduk menghargai dan tidak menyalahgunakan pemberian BR1M yang dihulurkan oleh kerajaan BN demi kebajikan hidup mereka selepas ini.

Nyalau menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM15,000 kepada JKKK Rumah Shem, Pesangu manakala RM3,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Engkilili, Edwin Anceh dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment