Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, February 23, 2012

Saya masih wakil rakyat BN - Harden



Caption: PENGHARGAAN...Harden (kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Wong ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (23 Feb)  – Datuk Francis Harden Hollis berharap agar rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak keliru berhubung status beliau dalam politik terkini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan itu berkata beliau masih lagi seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan juga ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hingga sekarang.

“Krisis dalaman SUPP yang bermula semenjak bulan Disember tahun lepas seharusnya tidak mengelirukan semua rakyat dalam DUN saya (Simanggang) dan juga ahli parti cawangan di sini.

“Walaupun berlakunya krisis terbabit, saya masih tetap menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat sebagai seorang menteri kabinet, wakil rakyat BN, dan juga selaku Pengerusi SUPP cawangan Simanggang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2012 anjuran SUPP cawangan Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Harden juga berharap agar semua ahli SUPP Simanggang untuk bersatu hati menyokong Masir Kujat sekiranya beliau dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman milik BN itu pada pilihan raya akan datang.

Kemenangan BN di kerusi parlimen Sri Aman katanya adalah amat penting demi meneruskan lagi rentak pembangunan untuk rakyat di seluruh kawasan Sri Aman dari masa ke semasa.

Terdahulu majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh yang turut menyerahkan replika cek peruntukan bernilai RM10,000 kepada Kesatuan Buddha Betong sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain.

Hadir sama ialah Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan barisan pemimpin SUPP yang lain.

Tamat.



No comments:

Post a Comment