Caption:
1. SEDIA...Ramli sedang memberi penerangan ringkas kepada para anggotanya
sebelum bermula sesi rondaan di Kampung Muhibah malam kelmarin.
2. BUKTI...Gambar menunjukkan penemuan tin gam yang sudah kosong ketika berlangsungnya
sesi rondaan oleh pihak SRS Kampung Muhibah malam kelmarin.
SRI AMAN, Sabtu (25 Feb) – Tahap kawalan keselamatan penduduk Kampung Muhibah, Sri
Aman terus dipertingkatkan dengan adanya sesi rondaan oleh penduduk di situ
malam kelmarin.
Kawalan keselamatan di Kampung Muhibah itu telah dijayakan menerusi Skim
Rondaan Sukarelawan atau SRS yang diketuai oleh Ramli Abu Sera bersama dengan
lapan orang anggota dari perkampungan tersebut.
Bermula jam 9 malam, Ramli bersama anggotanya telah memulakan operasi
rondaan mereka terhadap enam buah kuaters penginapan kerajaan yang kosong bagi
memastikan ia tidak disalah-guna oleh lain-lain pihak.
“Pihak kami telah menemui tin cecair gam, bekas botol minuman dan juga ubat
nyamuk ketika melakukan pemeriksaan di dalam keenam-enam buah kuaters
penginapan kerajaan yang kosong itu.
“Setelah tidak menemui mana-mana individu atau kumpulan yang berada di
kuaters berkenaan maka sesi rondaan kami diteruskan lagi ke kawasan masjid dan
sekolah rendah dalam kampung ini,” katanya.
Operasi rondaan terbabit katanya telah berakhir sekitar jam 12 tengah malam
dengan kawasan lorong B1 hingga B2 dan lorong C hingga Lorong A dalam Kampung
Muhibah menjadi lokasi terakhir rondaan oleh kumpulan terbabit.
Secara keseluruhannya, tahap keselamatan di kawasan Kampung Muhibah kata
Ramli masih lagi selamat dengan pihaknya tidak mengesan sebarang aktiviti
jenayah termasuk kes kecurian menerusi rondaan itu.
“Pihak SRS Kampung Muhibah akan terus melapor kepada pihak polis sekiranya
terdapat aktiviti jenayah yang dikesan menerusi operasi ini,” katanya sambil
menambah bahaa operasi seperti ini akan diteruskan di situ dari masa ke semasa.
Justeru Ramli berharap agar operasi rondaan SRS Kampung Muhibah ini akan
dapat membantu pihak polis untuk membendung berlakunya kejadian jenayah di
kawasan Sri Aman termasuk di kampung tersebut selepas ini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment