Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, February 21, 2012

Pelajar perlu bertanggungjawab kemudahan sekolah - Nyalau



Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (tengah) ketika menerima cenderamata daripada pihak penganjur ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (20 Feb) – Pelajar masa sekarang dinasihat agar menjaga kemudahan sekolah masing-masing demi kebaikan generasi pelajar baru selepas ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Katanya kebanyakkan kemudahan sekolah terutama sekali kelengkapan bilik asrama banyak rosak disebabkan oleh sikap tidak berdisplin pelajar yang menuntut di sekolah berkenaan.

“Tindakan ini bukan sahaja menyusahkan generasi pelajar baru yang menggantikan mereka selepas itu malah turut merugikan pihak kerajaan yang sering menyalurkan peruntukan bagi tujuan pembangunan kemudahan sekolah.

“Lagipun boleh jadi adik atau saudara mereka akan menghadapi kesukaran ini hanya disebabkan oleh sikap pelajar itu sendiri. Justeru saya menasihatkan pelajar agar lebih berdisplin ketika menggunakan kemudahan sekolah selepas ini,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Pemilihan Bakat Atlit Ko – Kurikulum Kali Ke-40 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili, kelmarin.

Selain itu beliau juga menyeru para pelajar agar bergiat lebih aktif dalam bidang sukan memandangkan ia dapat membantu pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi atau mencari pekerajaan selepas ini.

Terdahulu Program Pemilihan Bakat Atlit Ko – Kurikulum Kali Ke-40 SMK Engkilili yang melibatkan penyertaan seramai 463 orang pelajar itu menyaksikan pasukan Rumah Marup muncul juara dalam pertandingan itu.

Empat pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan di SMK Engkilili berkenaan selain dari pasukan Rumah Marup ialah Rumah Batang Lupar, Rumah Kumpang dan Rumah Undop .

Turut berlangsung dalam majlis itu upacara penyampaian insentif berjumlah RM3,000 daripada Nyalau kepada lapan orang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun lepas (RM50 untuk satu gred A).

Beliau menerusi majlis itu juga telah menyatakan janji untuk memberi sejumlah RM50 untuk satu gred A kepada pelajar bagi keputusan peperikasaan SPM ini nanti.

Nyalau juga mengumumkan peruntukan bernilai RM22,000 kepada PIBG SMK Engkilili bagi tujuan pembangunan sekolah disamping menjayakan aktiviti yang akan diadakan di sekolah tersebut selepas ini.

Tamat.





No comments:

Post a Comment