Caption: TERIMA KASIH...Nyalau sedang berjabat tangan dengan seorang
penerima cek peruntukan sambil disaksikan oleh Mussen (belakang) dan tetamu
khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu baru-baru ini.
LUBOK ANTU, Ahad (26 Feb) – Hal ehwal pembangunan keperluan asas hidup penduduk
dalam kawasan luar bandar di negeri ini khasnya dalam kawasan Parlimen Lubok
Antu sememangnya tidak lari dari menjadi fokus utama kerajaan Barisan Nasional
(BN).
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata ia terbukti apabila
kerajaan BN sedang melaksanakan projek kemudahan infrastruktur Jalan Kumpang
Langgir sepanjang lapan kilometer yang menelan belanja lebih dari RM6 juta pada
masa sekarang.
“Saya berharap agar dengan adanya kemudahan jalan seperti ini maka membantu
penduduk dalam kawasan Kumpang Langgir untuk memajukan kawasan tanah
masing-masing dengan pelbagai pertanian komersial.
“Projek pertanian komersial terbabit sekaligus akan dapat mempertingkatkan
taraf ekonomi keluarga masing-masing ke arah memajukan lagi kawasan luar bandar
di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama
Rakyat yang berlangsung di Rumah Kelly, Kumpang Langir, Lubok Antu pada hari
Jumaat lepas.
Nyalau menerusi majlis itu juga telah mengumumkan kelulusan projek Bekalan
Elektrik Luar Bandar atau RES ke kawasan penduduk Kampung Kumpang Langir yang
menelan kos sebanyak RM 1.9 juta.
“Projek perlaksanaan kemudahan RES ke kawasan Kampung Kumpang Langgir yang
mencakupi kos bernilai RM1.9 juta ini nanti dijangka akan bermula pada
pertengahan bulan April tahun ini.
“Justeru saya berharap agar penduduk menghargai sumbangan Kerajaan BN dalam
memajukan hidup mereka selepas ini,” katanya sambil sejumlah RM600,000
diluluskan membina kemudahan RES di Rumah Tan, Seremat, Lubok Antu.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen
amoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat, Jurutera JKR Bahagian Sri
Aman, Cassidy Morris, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Sri Aman, Razali
Arshad, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja dan ketua kaum di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment