Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, February 12, 2012

2,000 orang sertai perarakan Maulidur Rasul di Simunjan


Caption: MERIAH...Penduduk sedang berarak ketika berlangsungnya sambutan Maulidur Rasul di Pekan Simunjan baru-baru ini.

SIMUNJAN, Khamis (9 Feb)  -  Seramai 2,000 orang penduduk beragama Islam telah menyertai perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1433H / 2012M di Pekan Simunjan baru-baru ini.

Perarakan Maulidur Rasul sejauh empat kilometer di Pekan Simunjan anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarawak (LAKIS) itu telah disertai oleh 20 buah kontinjen dari kawasan berkenaan.

Bermula seawal jam 7.30 pagi, para kontinjen telah berarak dari kawasan Padang Sentral melalui Jalan Kampung Nanas, Jalan Kampung Keleka, Jalan Majlis, dan Jalan Sabah sebelum berakhir di Dewan Mesra, Majlis Daerah Simunjan (MDS).

Ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul tersebut, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri iaitu Bujang Haji Helmi telah mengingatkan agar umat Islam sentiasa bersikap sederhana disamping menjadi contoh kepada masyarakat lain.

Sambil melahirkan rasa bangganya berhubung kemeriahn sambutan Maulidur Rasul di Simunjan, beliau juga menganggap bahawa perarakan ini melambangkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat di sini.

“Lagipun ia amat bersesuaian dengan tema perayaan pada tahun ini iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Justeru saya berharap agar semangat perpaduan seperti ini akan terus berkekalan dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi LAKIS, Daerah Simunjan, Len Haji Sol dalam ucapan alu-aluannya memberitahu sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini telah bermula dari 2 hingga 4 Februari di Masjid Darul Hijrah, Simunjan.

Pelbagai aktiviti menarik katanya telah diadakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan antaranya ialah Pertandingan Berzanji, Berzikir, Hadrah dan Nasyid.

Selain itu, pihak LAKIS kata Len juga telah membawa perubahan pada sambutan Maulidur Rasul tahun ini dengan mengadakan Zikir Maulud di Masjid Al-Ansar, Kampung Keleka, Simunjan.

Terdahulu sambutan Maulidur Rasul itu telah dimulai dengan bacaan Doa Selamat oleh Imam Masjid Darul Hijrah, Aban Napiri sebelum ia diteruskan dengan Persembahan Pidato oleh penuntut SMK Sri Sadong, Noorasyikin Omarsidi, Pertandingan Sepanduk serta sumbangan Insentif LAKIS kepada Pelajar Islam Cemerlang 2010 / 2011.

Semua hadiah dan insentif ini telah disampaikan oleh Bujang Haji Helmi dan Len Haji Sol sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hijrah, Khalid Marzuki, Penghulu Raili Alias,  para pegawai kanan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment