Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, June 6, 2012

Kerajaan akan cuba kurangkan populasi buaya di Skrang - Rayong


Caption: PRIHATIN...Rayong sedang mengendong adik mangsa iaitu Clemet ketika bersama Nyalau menemui keluarga mangsa lemas di Ulu Tekalong baru-baru ini.

ENGKILILI, Sabtu (26 Mei) –  Populasi buaya di kawasan sungai dalam negeri ini perlu dikurangkan demi keselamatan mereka yang bergantung kepada sumber air di sungai berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata usaha ini perlu tertumpu di kawasan penempatan penduduk (tepi sungai) yang sering diancam serangan buaya selama ini.

“Saya pernah mengusulkan isu ini di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas tetapi ditentang oleh beberapa pihak tertentu yang menganggap bahawa buaya di kawasan sungai itu adalah produk tarikan pelancong asing.

“Pelancongan memang baik untuk kawasan terbabit namun kita haruslah memikirkan sensitiviti ahli keluarga penduduk khasnya di Batang Ai Hilir dan Skrang yang pernah menjadi mangsa serangan buaya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pemantauan ke Kampung Linggang, Ulu Tekalong, Engkilili bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak di situ baru-baru ini.

Selain itu kerajaan kata Rayong juga boleh mencontohi tindakan beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia yang meluluskan operasi penangkapan buaya secara bermusim pada setiap tahun.

“Nyawa manusia itu penting. Justeru saya berharap agar agensi berkaitan untuk mencari jalan bagi membolehkan permit penangkapan buaya diluluskan demi mengurangkan populasi reptilia ganas tersebut selepas ini,” katanya.

Terdahulu Nyalau dan Rayong telah mengadakan pertemuan dengan keluarga mendiang Peter Heerema Sagan, 13, di Kampung Linggang, Ulu Tekalong, Engkilili, yang dilaporkan hilang di sungai berhadapan rumah mereka pada 22 Mei lepas.

Mangsa iaitu Heerema dilaporkan hilang hingga sekarang di tebing sungai berkenan setelah adiknya, Clement pulang menghantar air ke rumah sekitar jam 4.30 petang pada hari tersebut.

Mayat mangsa ditemui oleh penduduk di Ijok pada 23 Mei yang kemudiannya bertindak mengikat mayat mangsa di perahu dengan tali sebelum ia hilang semula apabila pihak bomba datang ke situ.

Kejadian terbabit menimbulkan spekulasi bahawa mangsa mati dibaham buaya apabila adiknya melaporkan terlihat buih udara muncul dari dalam permukaan sungai di situ sebaik sahaja mangsa hilang.

Tamat.



No comments:

Post a Comment