Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, June 6, 2012

Tapis maklumat Radio Free Sarawak - Whelton


Caption: TERIMA KASIH... Whelton (kanan sekali) ketika menyaksikan Tr Alex menyerahkan cenderamata kepada Masir pada majlis itu kelmarin.


BALAI RINGIN, Sabtu (26 Mei) – Rakyat terutama sekali dalam kawasan Parlimen Sri Aman dinasihat agar tidak menerima bulat-bulat maklumat yang dihebahkan oleh stesen Radio Free Sarawak selepas ini.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi berkata maklumat yang disampaikan oleh radio berkenaan adalah tidak tepat dan sering memburuk-burukkan kerajaan.

“Rakyat mempunyai kebebasan untuk mendengar mana-mana hebahan stesen radio. Namun apa yang kita pinta daripada mereka ialah untuk menapis maklumat yang mereka terima daripada siaran radio terbabit (Radio Free Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Alex Libau, Ensebang Kuari B, dalam kawasan Balai Ringin, Serian, kelmarin.

Selain itu Whelton juga berharap agar rakyat kerajaan Barisan Nasional (BN) diteraju oleh barisan pemimpin yang memahami kebajikan hidup rakyat berbilang kaum termasuk Dayak di negeri ini.

“Saya berharap agar rakyat berfikiran rasional dengan tidak menyokong parti pembangkang yang tidak akan dapat membela kebajikan rakyat berketurunan Dayak di negeri ini.

“Justeru adalah amat penting bagi semua rakyat terutama sekali di kawasan Parlimen Sri Aman untuk meneruskan sokongan mereka terhadap calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Terdahulu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Alex Libau, Ensebang Kuari B itu telah pun dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah Abdillah, Pegawai Penerangan Simunjan, Maria Tungkat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment