Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Rakyat perlu bersikap terbuka demi pembangunan - Harden


Caption: SIMBOLIK...Harden sedang menyempurnakan simbolik Ngetas Ranyai sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.
 SRI AMAN, Jumaat (15 Jun) – Rakyat perlu bersikap terbuka sekiranya kawasan tanah milik mereka dipilih bagi tujuan projek pembangunan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Kegagalan rakyat untuk memberi kerjasama terhadap pihak kerajaan berhubung tujuan itu boleh merugikan masa depan pembangunan di kawasan mereka pada masa akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Kanselor Sawing, Ulu Paku, Undop, Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

“Contohnya boleh kita lihat apabila ada pemilik tanah (rakyat) enggan kawasan tanah mereka digunakan bagi tujuan pemasangan tiang bekalan elektrik tanpa adanya bayaran pampasan daripada kerajaan.

“Ada juga enggan menerima projek ini kerana terlalu sayangkan pokok buah-buahan mereka di kawasan tanah tersebut dan akibatnya ialah apabila projek itu terbantut maka rakyat di lain-lain kawasan akan menerima kesan itu,” katanya.

Justeru beliau berharap agar rakyat memberi sepenuh kerjasama terhadap pihak pemaju demi membolehkan projek pembangunan di kawasan penempatan mereka berjalan dengan lancar.

“Fikirkan masa depan hidup anak dan cucu kita. Ketepikanlah kepentingan diri masing-masing dengan memberi laluan terhadap kerajaan untuk memajukan hidup mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Pengurus Revenue Scoop, Razi Suhaimi, Pengurus Ladang SOP Pelita Batu Lintang, Mohd Sofian Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP Simanggang, Patrick Michael, wakil Sesco Sri Aman, Tawis Ason, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Nor Mahathir, wakil DID Sri Aman, Henry Tuah dan ketua kaum di sini.

Terdahulu kerajaan sedang melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES untuk kegunaan 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

Projek yang menelan kos bernilai RM12 juta itu dijangka siap pada awal bulan Disember tahun dan akan memberi faedah kepada 1,000 hingga 1,300 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment