Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Jabatan Pelajaran Sri Aman adakan APC


Caption: TAHNIAH...Abdillah (kiri) sedang menyampaikan anugerah kepada seorang penerima iaitu Charles Bayang Albert (kanan) sambil disaksikan oleh Bihud (tengah) pada majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu (20 Jun) – Seramai 174 orang guru dan kakitangan Jabatan Pelajaran dari kawasan Sri Aman dan Lubok Antu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman baru-baru ini.

Kesemua mereka telah pun menerima anugerah tersebut menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Negeri Sarawak 2012 peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dan Lubok Antu.

Jurucakap penganjur majlis memberitahu Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam telah diberikan penghormatan untuk merasmikan majlis terbabit yang sebelum itu diserikan dengan dua upacara khas.

Antara acara tersebut menurut beliau adalah upacara Bacaan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam yang telah disampaikan oleh Penyelia Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman iaitu Kwang Law.

Upacara bacaan ikrar tersebut kemudiannya diteruskan dengan persembahan koir telah daripada kumpulan koir SMK Sri Aman sebelum majlis penyampaian anugerah tersebut dimulakan.

“Kita berharap agar anugerah ini dapat menyuntik semangat baru terhadap karier para penerima sebagai warga pendidik dan bukan hanya sekadar menganggap ia sebagai pengiktirafan prestasi kerja masing-masing bagi tahun 2011.

"Justeru kita berharap agar para penerima APC ini tidak mudah mengalah terhadap cabaran yang mereka terima ketika melaksanakan tugas sebagai seorang guru di sekolah masing-masing di masa akan datang," katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Bihud Apok, Pegawai Pelajaran Daerah Lubok Antu, Baba Minggu, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawi Salleh dan kakitangan kerajaan di sini.

Tamat.



No comments:

Post a Comment