Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, June 6, 2012

Lupakan kehadiran pihak pembangkang - Nyalau



Caption: UNTUK RAKYAT...Nyalau bersama tetamu khas ketika meninjau tapak Micro Hidro di Ulu Lemanak, Lubok Antu kelmarin.

LUBOK ANTU, Isnin (29 Mei) – Rakyat di kawasan luar bandar harus melupakan pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Katanya kehadiran pihak pembangkang hanya akan menganggu tugas kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memajukan hidup rakyat dengan menghasut pemikiran mereka agar menentang kerajaan dari masa ke semasa.

“Saya berasa hairan mengapa rakyat di kawasan luar bandar masih bersama dan terus menyokong pihak pembangkang sekiranya mereka masih memerlukan pembangunan daripada pihak BN.

“Jika mereka masih memerlukan pembangunan maka BN adalah jawapannya. Menyokong pembangkang tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Macro Hidro dan Parit yang berlangsung di Rumah Jamban, Bilararap, Ulu Lemanak, Lubok Antu kelmarin.

Selain itu Nyalau juga mengingatkan rakyat di kawasan luar bandar Lubok Antu agar tidak mengadai masa depan pembangunan hidup mereka dengan menyokong pihak pembangkang pada PRU13 nanti.

“Justeru saya berharap rakyat di kawasan luar bandar tidak mudah terpedaya dengan hasutan pihak pembangkang mengenai kerajaan BN menjelang PRU terbabit,” menurut beliau.

Terdahulu projek pembinaan Micro Hidro di Rumah Jamban, Bilararap, Ulu Lemanak, Lubok Antu terbabit telah menelan kos berjumlah RM200,000.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen Lubok Antu, Jeoffery Baja Ricky Maba, wakil Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Inspektor Robert dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment