Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 14, 2012

Lupakan dahulu krisis dalaman SUPP - Rayong


Caption: HIDUP BN...Rayong (belakang tengah) bersama ahli parti melaungkan slogan hidup BN sebaik sahaja selesai mesyuarat berkenaan hari ini.

ENGKILILI, Selasa (12 Jun) – Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diminta untuk melupakan krisis dalaman parti demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) 13 akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata perpaduan antara semua ahli SUPP adalah amat penting agar rakyat tidak melihat wujudnya perpecahan di antara mereka.

“Semua ahli SUPP perlu bersatu-padu untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) demi memastikan mereka menang dan berjaya mempertahankan kerusi parlimen milik kerajaan pada PRU13 nanti.

“Jangan tunjuk kelemahan kita kepada pihak pembangkang. Masalah dalaman parti boleh kita selesaikan secara bersama-sama sebaik sahaja tamat PRU13 yang dijangka akan berlangsung pada bila-bila masa mulai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa SUPP cawangan Engkilili yang berlangsung di pejabat cawangan parti berkenaan dalam Pekan Engkilili hari ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu agar tidak mudah terpedaya dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang mendakwa bahawa mereka adalah parti yang pro kerajaan BN.

Jelas beliau, SWP sebenarnya adalah sebuah parti dari negeri Sabah yang menggunakan nama Sabah People Front Party (SPFP) sebelum alamat dan namanya diubah seperti sekarang untuk beroperasi di dalam negeri ini.

“Sebab itulah SWP cepat diluluskan. Tanpa perlu melalui pihak Kementerian Dalam Negeri, pihak SWP telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas Tahunan (Extra AGM) dan mula beroperasi seperti mana yang telah kita saksikan sekarang.

“Alasan ini mereka guna untuk mendapatkan sokongan rakyat dengan mendakwa bahawa SWP mendapat sokongan Perdana Menteri dan Ketua Menteri walhal parti itu sudah pun ditubuhkan di negeri lain sebelum ini,” katanya.

Justeru Rayong berharap agar ahli SUPP terutama sekali bagi cawangan Engkilili bersatu-padu untuk memastikan kemenangan BN di kerusi Parlimen Lubok Antu pada PRU13 akan datang.



Hadir sama ialah Timbalan SUPP cawangan Engkilili, Kanselor Sibat Krutap, Setiausaha SUPP Cawangan Engkilili, Kanselor Nyambong anak Maweng dan para ketua kaum dari sekitar Engkilili.

Tamat....




No comments:

Post a Comment