Caption: MERIAH...Gambar menunjukkan keadaan Pasar Lachau yang dipenuhi
oleh kenderaan pengunjung yang pulang dari cuti menyambut perayaan Gawai Dayak
sebelum ini.
PANTU, Sabtu ( 9 Jun) – Pasar Keranggas Pantu atau lebih dikenali sebagai Pasar
Lachau sememangnya amat terkenal dikalangan penduduk yang sering berulang-alik
di antara Kuching, wilayah tengah dan wilayah utara selama ini.
Ini kerana Pasar Lachau memberikan pelbagai pilihan kepada penduduk yang
datang dari arah Kuching mahupun Sri Aman antaranya ialah seperti stesen
minyak, restoran makanan, tandas, surau, pasar tamu, kedai runcit, kedai
aksesori dan banyak lagi.
Namun begitu Pasar Lachau yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat
Bandar Sri Aman telah menerima jumlah kehadiran pengunjung yang luarbiasa
bermula dari 30 Mei hingga 5 Jun lepas.
Kesesakan tempat letak kenderaan dan juga trafik yang berlaku berdekatan
dengan simpang jalan masuk menuju ke Pasar Lachau bermula dalam lingkungan
waktu itu dipercayai berpunca dari musim cuti bagi perayaan Gawai Dayak pada 1
Jun lepas.
Ia sekaligus menjadikan Pasar Lachau menjadi ‘syurga’ utama dikalangan pengunjung
yang lebih gemar memilih untuk singgah di situ berbanding dengan lain-lain
lokasi persinggahan sepanjang jalan Sri Aman – Serian.
“Ia merupakan durian runtuh bagi
kami yang berniaga di Pasar Lachau,” menurut seorang penjual produk jualan
hutan di Pasar Lachau yang hanya mahu dikenali sebagai Bancang.
Katanya kadar keuntungan hasil jualan produk seperti beras, Upa Pantu dan
asam meningkat lebih tinggi pada musim cuti perayaan Gawai Dayak terbabit
berbanding pada hari biasa.
Sementara itu seorang tukang masak iaitu Chai Min Sen berkata puluhan orang
pengunjung membanjiri restoran makanannya di Pasar Lachau pada setiap hari
semenjak musim cuti perayaan Gawai terbabit.
“Ia tidak termasuk restoran lain di sini. Sebab itulah saya menganggap
Pasar Lachau adalah syurga persinggahan pengunjung kerana seperti ini akan
berlaku menjelang cuti perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan
juga Gawai,” katanya.
Utusan Sarawak mendapati bahawa kesesakan di Pasar Lachau mula kembali
normal pada 5 Jun lepas apabila kebanyakkan penduduk yang menyambut perayaan
Gawai telah kembali bekerja di bandar utama semenjak bercuti pada 30 Mei lepas.
Tamat.
No comments:
Post a Comment