Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 7, 2012

Masir sangkal dakwaan Tabloid Kenyalang


Slug: MasirSangkal + pic 29.05.12

Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Isnin (29 Mei)– Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah menyangkal dakwaan mengenai hal salahguna kuasa yang dilemparkan terhadap dirinya oleh sebuah akhbar tabloib berbahasa Iban tempatan pada hari ini.

Katanya dakwaan dalam tabloid Iban tempatan tersebut adalah palsu dan lebih bersifat prasangka memandangkan ia berniat menjatuhkan kedudukan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Tabloid itu mendakwa saya bersama pembantu iaitu Abah Unggie telah bertindak memotong peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) milik beberapa buah rumah panjang dalam kawasan Parlimen Sri Aman sebelum ini.

“Persoalannya sekarang ialah peruntukan MRP itu sudah dimasukkan ke dalam akaun bank JKKK rumah panjang milik pendakwa itu sendiri...justeru urusan keluar masuk duit adalah atas urusan JKKK itu sendiri dan bukannya saya,” kata beliau.

Kata Masir lagi, pihak JKKK rumah panjang tersebut seharusnya melaporkan perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengetengahkan bukti jika benar berlakunya pemotongan peruntukan tersebut sebelum ini.

Semua rakyat khasnya mereka yang membaca tabloib terbabit kata beliau harus sedar bahawa berita berbaur prasangka tersebut sebenarnya bertujuan untuk mengangkat bakal calon Bebas di Parlimen Sri Aman iaitu Donald Lawan.

“Sebenarnya bukan mudah untuk beliau (Donald) melompat ke parti Barisan Nasional (BN) jika berjaya memenangi kerusi Parlimen Sri Aman pada PRU13 akan datang seperti yang pernah dilakukan oleh calon Bebas yang lain sebelum ini.

“Jika benar ingin menyertai BN (jika menang) maka mengapa beliau akan bertanding menggunakan tiket Bebas pada PRU13 kelak? Justeru saya berharap agar pengundi Parlimen Sri Aman tidak mudah terperangkap dalam isu terbabit selepas ini,” katanya.

Namun begitu, Masir memberitahu bahawa beliau tidak memberi fokus terhadap dakwaan yang dilemparkan oleh tabloid berbahasa Iban tersebut buat masa sekarang memandangkan pertemuan bersama rakyat adalah lebih penting dari perkara itu.

“Saya akan berjumpa dengan pihak Majlis Peguam Negara setelah selesai PRU13 kelak untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka mengenai tindakan susulan yang perlu dilakukan terhadap tabloid berkenaan,” katanya.

Selain itu rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman kata Masir juga perlu sedar bahawa projek pembinaan hospital, naiktaraf loji air, bekalan projek bekalan elektrik luar bandar dan air bersih di Sri Aman juga telah dikemukakan olehnya di sidang parlimen selama ini.

“Mereka dakwa saya tidak pernah masuk sidang parlimen. Adakah mereka lupa bagaimana peruntukan RM200 juta dilulus oleh Kerajaan Pusat untuk membina hospital baru di Sri Aman jika isu itu tidak saya kemukakan di sidang parlimen?

“Ia tidak termasuk peruntukan daripada pihak Kerajaan Pusat yang telah dilulus bagi tujuan projek pembangunan di sini. Justeru adalah tidak munasabah sekiranya tabloid itu mendakwa saya tidak pernah bersidang di parlimen selama ini,” katanya.

Tamat.

















No comments:

Post a Comment