Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, June 6, 2012

Bapa dakwa anak dipukul tukang cuci sekolah


Caption: ANIAYA...Jahwie menunjukkan kesan lebam di paha dan luka di bahagian gelang kaki anaknya dipercayai akibat tendangan tukang penjaga kebersihan di sekolah tersebut sebelum ini.

SRI AMAN, Sabtu (26 Mei) – Seorang bapa memohon Pejabat Pendidikan Bahagian Sri Aman untuk mengambil tindakan seorang tukang penjaga kebersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringgin, Pantu selepas ini.

Jahwie bin Keram, 37, dari Rumah Laka, Punggu Tinting, Pantu mendakwa bahawa tukang penjaga kebersihan tersebut telah bertindak menendang anaknya, Mohd Syukrie, murid Tahun 4 di sekolah itu sekitar tengahari pada 23 Mei lepas.

“Kisah bermula apabila anak saya bertengkar dengan cucu kepada tukang penjaga kebersihan itu disebabkan oleh tindakan cucunya yang menarik langsir dan cadar milik anak saya di asrama sekolah tersebut.

“Si cucu itu kemudiannya bertindak melaporkan perkara itu kepada neneknya (tukang) tersebut...akibatnya tukang penjaga kebersihan berkenaan bertindak menendang paha dan kaki kanan anak saya,” katanya.

Kejadian tersebut hanya disedari oleh Jahwie apabila mendapati bahawa anaknya menolak untuk mengikuti beliau pergi memancing ikan ke Sungai Air Cina di situ pada petang kelmarin.

Beliau dan isterinya terkejut apabila mendapati kesan lebam yang terdapat di bahagian paha dan di kiri kanan gelang kaki anaknya dipercayai akibat sepakan daripada tukang penjaga kebersihan sekolah berkenaan.

“Saya terus bertindak menemui tukang tersebut di rumahnya di Punggu Dadak, Pantu tetapi dia telah pun melarikan ke Kabong,” katanya sambil menambah beliau sudah pun menghubungi tukang tersebut berhubung kejadian itu.

Justeru Jahwie menuntut pihak Jabatan Pendidikan  Sri Aman mengambil tindakan serius terhadap tukang penjaga kebersihan berkenaan agar perkara yang sama tidak berulang kembali terhadap lain-lain murid di sekolah tersebut selepas ini.

Beliau turut mendakwa seorang lagi rakannya iaitu James Munol mengalami bengkak di bahagian dahi kiri setelah ditumbuk oleh tukang penjaga kebersihan terbabit berhubung penglibatan dalam pertengkaran tersebut.

“Saya sudah pun membuat laporan di Balai Polis Sri Aman berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi hari ini,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment