Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Saya difitnah salah guna kuasa - Masir


Caption: SOKONG...Rakyat sedang mengangkat tangan sambil menunjukkan sepanduk menyokong Masir (tengah) sebagai calon BN untuk PRU13 sebaik sahaja tamat program itu hari ini.

BALAI RINGIN, Jumaat (25 Mei) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat melahirkan rasa kecewa berhubung tindakan pihak tertentu yang mendakwa bahawa beliau menyalahguna kuasa untuk meraih sokongan rakyat dalam kawasannya selama ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 20 12 yang berlangsung di Rumah Alex Libau, Ensebang Kuari B, dalam kawasan Balai Ringin, Serian hari ini.

Katanya, kumpulan tersebut telah bertindak berani dengan menuduhnya memberi duit secara sesuka-hati kepada rakyat sehingga laporan polis dibuat di Kuching berhubung perkara itu baru-baru ini.

“Dakwaan mereka nyata tidak benar sama-sekali memandangkan duit yang diberi kepada rakyat dalam kawasan parlimen saya selama ini adalah bagi menjayakan aktiviti di bawah Program Touch Point,” katanya.

Jelas Masir, resit hasil aktiviti Program Touch Point ini akan diberi kepada pihak perbendaharaan di Kuala Lumpur sebelum wangnya boleh dimasukkan ke dalam akaun bank mereka.

Atas sebab ini dakwaan salahguna kuasa terhadap beliau berhubung perkara ini tidak harus timbul memandangkan Program Touch Point juga dilaksana oleh Ahli Parlimen dan juga para Menteri Kabinet Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Setiap Ahli Parlimen di Sarawak diperuntuk sebanyak RM2.5 juta bagi melaksana Program Touch Point demi memajukan hidup rakyat dalam kawasan parlimen masing-masing.

“Justeru saya mahu rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman sedar bahawa tindakan kumpulan itu adalah berniat jahat demi mengurangkan sokongan mereka terhadap calon BN pada PRU13 akan datang,” katanya.

Masir juga turut memberitahu bahawa beliau masih seorang wakil rakyat BN dan akan terus turun padang bagi memantau masalah hidup rakyat dalam kawasannya dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah Abdillah, Pegawai Penerangan Simunjan, Maria Tungkat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment