Caption:
1. TIDAK SABAR...Penduduk sedang membanjiri Taman Tebingan Sungai Sri Aman
untuk menyaksikan fenomena Benak Sungai Batang Lupar kelmarin.
2. BANTU...Gambar menunjukkan bot agensi kerajaan di Sri Aman yang mengiringi
para peluncur ombak antarabangsa di Sungai Batang Lupar petang kelmarin.
3. MENARIK...Ombak benak sedang memukul benteng Sungai Batang Lupar ketika
ia mula tiba di kawasan Taman Panorama Benak kelmarin.
SRI AMAN, Rabu (9 Mei) – Aksi luncur benak oleh dua orang peluncur ombak
antarabangsa di Sungai Batang Lupar nyata mencuri tumpuan ratusan orang
pengunjung di Bandar Sri Aman lewat petang kelmarin.
Dua orang peluncur ombak antarabangsa terbabit adalah Peter Hoo dari
Singapura dan Giancarlo Avancini dari Itali telah berpeluang meluncur benak di
Sungai Batang Lupar yang bermula pada jam 5.30 petang.
Kedua-dua mereka mengambil kedudukan masing-masing di kawasan Tanjung
Rirang untuk meluncur benak sehingga ke kawasan Kampung Hilir sambil diiringi
oleh bot agensi kerajaan di sini.
Walaupun gagal meluncur benak hingga ke kawasan Dermaga Perdagangan Batang
Lupar, persembahan Ho dan Avancini nyata mengamit hati ratusan penduduk yang nyata
mahu menyaksikan persembahan mereka itu.
“Mereka mahu meluncur di sini (Sungai Batang Lupar) pada sambutan Pesta
Benak lepas. Namun urusan penting masing-masing menyebabkan kedua-dua mereka
membatalkan niat untuk meluncur benak di sini ketika itu.
“Justeru kali ini mereka berkesempatan untuk meluncur benak di Sungai
Batang Lupar semenjak 6 Mei lepas hasil bantuan logistik daripada pihak Pejabat
Residen Sri Aman,” kata Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan Yian Hua.
Ho dan Avancini kata beliau juga turut berpeluang untuk menyampaikan
ceramah kepada peminak sukan luncur ombak menerusi Klinik Luncur Ombak dan langkah
pengendalian bot di Taman Panorama Benak petang kelmarin.
“Kedua-dua mereka juga turut melatih tiga orang peluncur ombak tempatan
dari Bandar Sri Aman ini untuk meluncur bersama benak di Sungai Batang Lupar
semenjak 6 Mei lepas.
“Ini satu perkembangan yang baik untuk kita dalam mempromosi Benak Sungai
Batang Lupar di mata pengunjung asing pada masa akan datang,” menurut beliau.
Terdahulu fenomena Benak berketinggian 6.5 meter yang menyusuri Sungai Batang
Lupar itu juga merupakan satu bonus bagi 200 orang penduduk yang melibatkan
diri dalam kempen gotong-royong membersihkan Kubu Alice di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment