Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 9, 2012

Manfaatkan ilmu dalam industri pelancongan - Harden



Caption: UNTUK ALBUM...Harden (duduk tengah) bersama (dari kiri) Rashid, Dany, Felicia dan Ranimah ketika merakamkan gambar kenangan bersama peserta pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Khamis (3 Mei) – Belia digalak untuk memanfaatkan kemahiran yang mereka pelajari dari Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB) dalam industri pelancongan di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata golongan terbabit boleh menjadikan industri pelancongan sebagai batu loncatan mereka untuk mengembangkan kemahiran masing-masing selepas itu.

“Contohnya belia lepasan Kelas Jahitan PLPB mungkin boleh mencipta sejenis produk yang mampu menjadi daya tarikan pelancong asing ke negeri ini begitu juga dengan para belia dari lain-lain kursus di PLPB.

“Jika belia bersifat kreatif dan mampu berbuat demikian maka saya percaya bahawa kemahiran yang mereka pelajari dari PLPB tidak akan menjadi sia-sia pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kelas Jahitan PLPB Sri Aman 2012 di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga menyeru golongan surirumah dan wanita yang belum bekerja di Sri Aman untuk menyertai Latihan Kelas Jahitan PLPB yang sering diadakan Sri Aman selepas ini.

“Usaha ini amat penting agar golongan terbabit boleh mencari pendapatan tambahan untuk mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga mereka sendiri di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai agar bertindak menyebarkan maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh pihak PLPB kepada para belia tanpa mengira lelaki atau wanita dalam kawasan masing-masing selepas ini.

Hadir sama ialah Pengarah PLPB Kuching, Dany Neb, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Felicia Tan, Ketua Unit PLPB Kuching, Abdul Rashid dan Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Assim.

Terdahulu sejumlah 104 orang peserta dari Sri Aman, Pusa dan Debak telah menamatkan Latihan Kelas Jahitan PLPB masing-masing yang telah berlangsung bagi sesi tahun 2010 dan 2011.

Tamat.

No comments:

Post a Comment