Caption: PERLU NAIKTARAF...Bulatan ini perlu dinaiktaraf seiring dengan
kemajuan pesat Bandar Sri Aman pada masa sekarang.
SRI AMAN, Sabtu (28 April) – Bandar Sri Aman sememangnya semakin maju pada masa sekarang
berdasarkan kepada jumlah kenderaan milik penduduk dan kesesakan lalulintas di
sini pada waktu tetap tertentu.
Dengan kata lain jika ada penduduk yang menganggap bahawa lokasi tumpuan
fenomena Benak ini adalah bandar tidur maka dakwaan mereka adalah salah
memandangkan bandar ini tidak akan lengang tanpa aktiviti penduduknya sehingga
jam 2 atau 3 pagi.
Hasil tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa kawasan Jalan
Hospital dan Jalan Kelab merupakan laluan yang paling sesak dalam bandar ini
pada jam 8 pagi dan 5 petang pada setiap hari.
Justeru penduduk dalam Bandar Sri Aman mula mencadangkan agar bulatan (sebelah
Pasaraya Everise) yang menghubungkan Jalan Hospital, Jalan Kelab dan Jalan
Resak dinaiktaraf menjadi kemudahan lampu isyarat selepas ini.
“Lagipun laluan bulatan terbabit menghubungkan penduduk ke Bandar Baru Sri
Aman dan sekaligus menyebabkan berlakunya kesesakan trafik di situ pada masa
sekarang,” kata Levinson Nading, 25 tahun.
Dengan wujudnya kemudahan lampu isyarat di situ, beliau percaya bahawa
kesesakan trafik sekitar waktu awal pagi dan lewat petang di pusat Bandar Sri
Aman akan dapat dikawal pada masa akan datang.
Sementara itu Henry dari kawasan Pasir Panas pula berharap agar kemudahan
lampu isyarat dapat diwujudkan segera untuk mengantikan bulatan yang terdapat
di situ selepas ini.
“Bulatan itu sudah tidak releven lagi. Bandar Sri Aman kini sudah maju dan
sekaligus menuntut kerajaan untuk menaiktaraf kemudahan trafik yang sedia ada
di sini pada masa sekarang.
“Paling penting ialah keselesaan pengguna. Kita akan menjangkakan kemajuan
yang lebih pesat dan kesesakan trafik jika pelan Bandar Baru Sri Aman Fasa I
hinga III sudah siap dilaksanakan kelak,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment