Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Orang awam turun padang bantu polis


Caption: KENANGAN...Brain menunjukkan Sijil Kepujian daripada pihak polis berhubung penglibatan beliau dalam menumbangkan kes kecurian motorsikal di Pantu pada tahun 1996 lepas.
SRI AMAN, Khamis (10 Mei) – Pembabitan orang awam dalam membantu pihak polis menangani kes jenayah di negara ini sememangnya merupakan satu sumbangan penting yang amat dihargai oleh kerajaan.

Sumbangan orang awam dalam perkara ini secara tidak langsung telah membantu pihak polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan harta-benda serta nyawa penduduk dari masa ke semasa.

Untuk itu Utusan Sarawak berkesempatan untuk menemubual Brain Kasa iaitu seorang Pembantu Perubatan Kesihatan Kanan dari Klinik Kesihatan Pantu yang pernah membantu polis membenteras jenayah pada 15 Jun 1996 lepas.

Motorsikal yang digunakan oleh beliau untuk ke kebun bersama isterinya nyaris dicuri oleh dua orang lelaki warganegara asing di kawasan Selantik, Pantu sekitar jam 5.45 petang pada tarikh berkenaan.

“Dua orang lelaki bertindak melarikan topi keledar saya dengan menunggang motorsikal jenis Yamaha RXZ apabila gagal mencuri motorsikal saya...saya yang amat marah berhubung kejadian ini terus mengejar mereka selepas itu,” kata beliau.

Brain kemudiannya terserempak dengan kedua-dua lelaki terbabit di kawasan Rapak, Pantu dengan seorang daripada mereka sedang menyorong motorsikal (kehabisan minyak) manakala seorang lagi sedang membawa tong kecil.

Pergaduhan kemudiannya tercetus sehingga kedua-dua mereka melarikan diri manakala Brain yang masih marah berhubung perkara itu pula bertindak menghumban motorsikal mereka ke kawasan sawah.

“Saya terus bertindak melaporkan perkara ini kepada pihak polis di Pantu. Saspek yang pertama ditangkap oleh saya dan polis di kawasan Lachau pada malam itu manakala seorang lagi pula ditangkap pada keesokan harinya.

“Rupa-rupanya motorsikal yang digunakan oleh mereka sebelum itu telah dicuri daripada seorang pemilik di Kampung Jirok, Simunjan...mereka mungkin boleh terlepas jika mereka tidak cuba mencuri motorsikal saya ketika itu,” katanya.

Sumbangan Brain berhubung perkara ini telah membolehkan beliau mendapat Surat Kepujian daripada pihak polis pada 29 November 1997 dan seterusnya bakal mendapat satu lagi Surat Kepujian daripada pihak Jabatan Kesihatan pada 14 Mei ini.

Penghargaan daripada pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan berhubung kejadian sejak 15 tahun lalu itu telah menyebabkan Brain berasa terharu di atas perhatian kerajaan sehingga ke masa sekarang.

“Jangan abaikan tanggungjawab kita untuk membantu polis. Ingatlah bahawa orang awam juga menggalas peranan untuk menjaga keselamatan dan keamanan kawasan penempatan mereka bersama pihak polis selama ini,” katanya.

Tamat.






No comments:

Post a Comment