Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Sistem Saraan Malaysia tidak memberi makna - STU Sri Aman


Caption: UNTUK ALBUM...Para jawatankuasa STU Bahagian Sri Aman bergambar kenangan sebaik sahaja tamat mesyuarat agung berkenaan.

SRI AMAN, Isnin (14 Mei) – Tindakan kerajaan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan kenaikan gaji sebanyak 13 peratus hanya merupakan tindakan yang menguntungkan penjawat awam secara jangka pendek.

Pengerusi Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Sri Aman, Goh Kaw Sze berkata usaha terbabit tidak memberi makna kepada peningkatan kualiti perkhidmatan awam, berbanding dengan SBPA yang diumumkan dalam Bajet 2012 tahun lepas.

“SBPA merangkumi ciri Sistem Perkhidmatan Bersepadu Perkhidmatan Pelajaran yang diperjuangkan oleh kesatuan-kesatuan guru dan mempunyai peluang kenaikan pangkat yang lebih dinamik.

“Justeru saya berasa cukup terkilan apabila kerajaan bertindak membatalkan SBPA dan mengantikannya dengan SSM hanya disebabkan oleh bantahan kesatuan sekerja perkhidmatan awam tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 STU Bahagian Sri Aman yang berlangsung di sebuah hotel tempatan dalam Bandar Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu Goh juga berpendapat bahawa STU masih mempunyai banyak ruang untuk diterokai kerana kesatuan tersebut bersifat ‘service unionism’ dan juga boleh bersifat social-movement unionism.

“Dengan kata lain, STU akan membentuk jalinan yang lebih kental bersama dengan kelompok berkepentingan dalam masyarakat setempat disamping mengutamakan soal hak asasi pelbagai pihak dalam gerakannya,” katanya.

Beliau juga turut menyeru ahli STU agar memahami transformasi pendidikan yang sedang berlangsung sekarang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya di peringkat akal umbi.

Usaha terbabit kata Goh adalah amat penting untuk memastikan anak-anak didik sentiasa menguasai teknik abad  ke-21 dan seterusnya mampu bersaing secara global pada masa akan datang.

“Saya ingin mengulangi saranan STU supaya kampus cawangan Institut Perguruan Malaysia didirikan di bahagian Sri Aman untuk menampung keperluan tempatan di samping meningkatkan mutu pendidikan setempat selepas ini,” katanya.


Terdahulu pihak STU Bahagian Sri Aman juga turut mengadakan Bengkel Untuk Wakil Sekolah kesatuan tersebut yang dikendalikan oleh Goh dan Irie Ambau.

Turut diadakan ialah penyampaian hadiah galakan akademik kepada anak-anak ahli yang cemerlang dalam peperiksaan awam.
Tamat.

No comments:

Post a Comment