Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Kamarol jadi Ketua Imigresen Pejabat LTAK Kuching yang baru


Caption: UNTUK ALBUM...Haji Hamfatullah Syawal sedang mengesahkan surat penyerahan tugas Ketua Imigresen Pejabat Imigresen LTAK sambil diperhatikan oleh Kamarol (kiri) dan Ijah (kanan) serta Wong Ying Chieng, Malik Bojeng dan Nelson Naga.

oleh Nelson Naga Alam

KUCHING, Rabu (16 Mei) - Satu majlis penyerahan tugas Ketua Imigresen bagi pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) telah berlangsung di Pejabat Imigresen LTAK baru-baru ini.

Menurut siaran akhbar hari ini, Timbalan Ketua Imigresen Pejabat Imigresen LTAK  TPPI(I) Ijah Jumpok telah menyerahkan tugas sebagai Ketua Imigresen Pejabat LTAK kepada PPI Kamarol Haji Johari.

Majlis penyerahan tugas Ketua Imigresen Pejabat LTAK di antara Ijah dan Kamarol terbabit telah pun disaksikan oleh Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak iaitu Haji Hamfatullah Syawal Bin Hamdan.

Hamfatullah ketika berucap pada majlis itu telah mengucapkan terima kasih di atas sumbangan Ijah yang telah memangku jawatan terbabit semenjak 7 Oktober tahun lepas dan seterusnya mengalu-alukan kedatangan Ketua Imigresen LTAK yang baru iaitu Kamarol.

Beliau juga menegaskan betapa pentingya semangat kerjasama di kalangan pegawai Imigresen yang bertugas di LTAK demi mempertingkatkan lagi produktiviti dan seterusnya menjauhkan diri dari sebarang kontroversi. 

“Janganlah kita memberi peluang untuk orang awam berasa tidak puas hati terhadap khidmat kita di kaunter memandangkan Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai perkhidmatan kaunter yang terbaik di dunia. 

“Justeru berilah kemudahan yang sewajarnya kepada tetamu kita dari dalam dan luar negeri Sarawak dan tunjukkanlah keramahan kita terhadap pelawat tempatan atau asing yang tiba di LTAK terutama sekali para tetamu VIP serta juga VVIP,” katanya.

Terdahulu majlis serah tugas ini turut dimeriahkan lagi dengan Majlis Pentutupan Mini Karnival Sukan Dalaman LTAK dan juga upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang-pemenang pertandingan sukan yang telah diadakan sepanjang bulan April lepas.

Sebanyak tujuh acara sukan telah dipertandingkan iaitu futsal, boling, karom, dart, batu seremban, congkak dan gusti lengan.

Juara keseluruhan Mini Karnival Sukan Dalaman LTAK bagi tahun 2012 disandang oleh Kumpulan Antap Warriors, naib juara Kumpulan Delta, tempat ketiga Kumpulan Bravo dan tempat keempat Kumpulan Charlie.

Tamat.

No comments:

Post a Comment