Caption: BERJAYA...Jamali (kiri sekali) bersama Zaidi (kanan sekali) dan
ahli Kelab Big Bikers Sri Aman yang lain ketika melaksanakan misi amal ke
Betong baru-baru ini.
SRI AMAN, Khamis (26 April) – Kelab Big Bikers Sri Aman telah melakukan misi amal
pertama mereka ke Betong semenjak berakhirnya sambutan Pesta Benak Sri Aman
pada 8 April lepas.
Setiausahanya Zaidi Sarkawi ketika ditemui berkata misi yang membabitkan
seramai tujuh orang ahli kelab itu telah memulakan perjalanan mereka dengan
menggunakan motorsikal berkuasa tinggi dari Bandar Sri Aman pada jam 7.30 pagi.
“Kumpulan kami telah singgah di Pusa, Betong untuk melakukan lawatan
terhadap salah rakan kelab kami yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan
raya di Kemintin Klauh, Sri Aman sebelum ini.
“Kami kemudiannya telah mengambil kesempatan untuk menyebarkan risalah
mengenai sambutan Pesta Benak Sri Aman kepada orang ramai di situ disamping
mempromosikan Kelab Big Bikers Sri Aman terhadap mereka,” menurut beliau.
Misi amal Kelab Big Bikers Sri Aman ini kata Zaidi kemudiannya diteruskan
ke Triso sebelum mereka singgah di Meludam untuk melawat seorang penduduk yang
mengalami penyakit lumpuh di situ.
Selepas itu, Kelab Big Bikers Sri Aman kata beliau melakukan sesi
beramah-mesra bersama penduduk di Meludam sebelum berangkat pulang ke Bandar
Sri Aman pada jam 7 petang.
“Misi amal pertama kami secara keseluruhannya telah berjaya. Kami telah pun
belajar untuk menunggang secara berhemah dengan berkonvoi sepanjang perjalanan
menuju ke Pusa, Betong.
“Justeru kami berharap agar Kelab Big Bikers Sri Aman dapat meneruskan misi
amal seperti ini demi mempromosi kelab serta Pesta Benak dikalangan penduduk
dalam negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu misi amal Kelab Big Bikers Sri Aman yang berlangsung di kawasan Pusa,
Maludam dan Triso dalam Bahagian Betong itu telah diketuai oleh Naib
Presidennya iaitu Jamali Safri.
Tamat.
No comments:
Post a Comment