Caption: PERLU TINDAKAN...Lubang longkang tidak bertutup berkenaan perlu
dibaiki segera oleh PBT demi keselamatan penunggang motorsikal dalam bandar
ini.
SRI AMAN, Rabu (9 Mei) – Orang ramai khasnya penunggang motorsikal mula melahirkan
rasa bimbang mereka terhadap kewujudan lubang longkang tidak bertutup di
simpang jalan masuk menuju ke Pasaraya Kecil Hock Lee Heng lama dalam Bandar
Sri Aman.
Utusan Sarawak ketika menerima aduan ini daripada orang ramai memberitahu
besi penutup berkenaan telah jatuh ke dalam lubang longkang berkenaan semenjak
sambutan Pesta Benak lepas.
“Rata-rata penduduk mungkin memandang perkara ini sambil lewa memandangkan
lubang longkang tidak bertutup itu tampak kecil jika dilihat dari jauh,” kata
seorang pengadu yang enggan namanya disiarkan dalam akhbar ini.
Katanya bahagian sisi longkang tersebut sebenarnya boleh mengundang risiko
kemalangan yang tinggi terhadap penunggang motorsikal dalam bandar ini
memandangkan kedalaman lubangnya melebihi ukuran tiga kaki jika diamati dari
dekat.
Dengan Pasaraya Kecil Hock Lee Heng lama sering menjadi tumpuan utama
penduduk di bandar ini, beliau tidak hairan sekiranya berlaku kemalangan
membabitkan penunggang motorsikal pada masa akan datang.
“Saya sendiri nyaris mengalami kemalangan kecil ketika cuba memasuki
simpang menuju ke pasaraya kecil berkenaan dengan motorsikal tersebut pada
lewat tengahari kelmarin.
“Justeru saya memohon Pihak Berkuasa Tempatan agar datang dan menutup
semula lubang longkang tersebut demi keselamatan semua pengguna motorsikal di
Bandar Sri Aman,” katanya.
Orang ramai khasnya penunggang motorsikal dinasihatkan agar berhati-hati
jika mahu memasuki simpang jalan masuk ke Pasaraya Kecil Hock Lee Heng lama
(sebelah Tua Pek Kong Cina) selagi lubang longkang itu tersebut belum ditutup
dengan besi selepas ini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment