Caption: AKTIF...Pengerusi SRS Kampung Muhibbah, Latipah Mantali (tengah)
bersama Ramli (kanan) dan anggota SRS yang lain ketika melakukan kawalan
keselamatan di Kampung Hilir Sri Aman baru-baru ini.
SRI AMAN, Khamis (26 April) – Unit Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Muhibbah Sri
Aman telah membuktikan bahawa tugas mereka tidak hanya terbatas dalam hal ehwal
penjagaan keselamatan kampung pada waktu malam.
Baru-baru ini unit SRS Kampung Muhibbah telah pun diundang untuk mengawal
tahap keselamatan penganjuran Majlis Penyerahan Anak Angkat Program Orientasi
Pegawai Persekutuan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hilir, Sri
Aman.
Undangan untuk melakukan kawalan keselamatan ketika berlangsungnya program
terbabit sudah semestinya dianggap sebagai satu penghormatan buat Unit SRS
Kampung Muhibbah yang diketuai oleh Ramli Abu Sera dan lima orang anggotanya
yang lain.
Ramli ketika ditemui berkata SRS Kampung Muhibbah sentiasa berusaha
mempertingkatkan kemampuan mereka dalam membantu agensi kerajaan untuk mengawal
tahap keselamatan penganjuran sesebuah program itu dari masa ke semasa.
“Ya, pasukan SRS kami tidak hanya berfungsi melakukan kawalan keselamatan
di sekitar kawasan Kampung Muhibbah, Sri Aman pada waktu malam seperti yang
dilaporkan dalam akhbar selama ini.
“Kami boleh melakukan tugas tersebut jika diundang oleh kerajaan untuk
berbuat demikian. Justeru penglibatan kami pada program itu boleh merangsang
lain-lain SRS untuk lebih aktif dalam membantu agensi kerajaan selepas ini,”
katanya.
Beliau juga berharap agar lebih ramai penduduk khasnya para belia menyertai
unit SRS sekiranya ia telah ditubuhkan dalam kawasan penempatan masing-masing
pada masa akan datang.
“Penyertaan belia dalam SRS adalah amat baik. Ia dapat memberi pengalaman
berguna terhadap mereka disamping menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing
terhadap penghuni di kawasan penempatan mereka selepas ini,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment