Caption: TURUN PADANG...Patrick (dua kanan) ketika bersama ahli dan pemuda
SUPP golongan Bumiputra pada kempen tersebut kelmarin.
SRI AMAN, Rabu (2 Mei) – Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) N.27
Simanggang bagi golongan Bumiputra telah melibatkan diri dalam kempen
gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Kristian Saint Luke Sri Aman,
kelmarin.
Timbalan Pemuda SUPP N.27 Simanggang, Patrick Michael Melanjin memberitahu
kempen yang berlangsung pada jam 9 pagi itu secara tidak langsung juga telah
memeriahkan suasana sambutan Hari Pekerja 2012 di negara ini.
“Pergerakan Pemuda SUPP N.27 Simanggang telah membuktikan bahawa kewujudan
mereka bukan hanya sekadar mahu bercakap sahaja bahkan turut melaksanakan
aktiviti kemasyarakatan untuk semua penduduk di kawasan ini.
“Justeru kami berharap agar penglibatan Pergerakan Pemuda SUPP N.27
Simanggang dalam kempen ini akan dapat mengalakkan pembabitan lebih ramai
masyarakat dalam aktiviti seperti itu di masa akan datang,” katanya.
Selain itu penglibatan mereka kata Patrick juga bertujuan untuk mendampingi
hati masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Simanggang disamping
membantu ahli masyarakat berumur 21 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.
Ia katanya sejajar dengan peranan Pergerakan Pemuda sebagai saluran
masyarakat kepada ADUN ataupun pihak atasan untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi oleh mereka selama ini.
“Contohnya boleh kita lihat apabila masyarakat dari Rumah Lutang, Undop
segera melapor masalah mereka kepada Setiausaha Pemuda SUPP Simanggang, Empaga
Baily apabila bumbung rumah panjang mereka musnah akibat ribut sebelum ini.
“Tindakan segera terbabit membolehkan ADUN Simanggang iaitu Datuk Francis
Harden dan Pejabat Daerah Sri Aman turun padang ke rumah panjang mereka untuk
memperbaiki kerosakan bumbung tersebut selepas itu,” katanya.
Patrick juga yakin bahawa dengan usaha turun padang untuk menemui
masyarakat akan membolehkan Pemuda SUPP membantu wakil rakyat Barisan Nasional
(BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Terdahulu beliau bersama dengan Setiausaha Pemuda SUPP Simanggang, Empaga
Penghulu Baily, Tuai Rumah Suai Ngelambong dari Taman Sri Jaya dan Tuai Rumah
Kedeny dari Beletik, Undop telah turun padang bagi menjayakan kempen tersebut.
Tamat.
No comments:
Post a Comment