Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

RM4 juta untuk projek air Parlimen Lubok Antu



Caption: BERKAT...Nyalau sedang merenjis air kudus sebagai simbolik perasmian pili air sistem AGM di Rumah Lepang sambil disaksikan oleh Alex (kiri) pada majlis itu kelmarin

LUBOK ANTU, Selasa (22 Mei) – Sejumlah RM4.01 juta bakal diperuntukan kepada kawasan Parlimen Lubok Antu bagi melaksanakan projek Sistem Penapisan Air Sungai Ringkas (SPASR) dan Sistem Air Graviti Bukit (AGB) untuk kegunaan penduduk di situ.

Daripada jumlah tersebut, RM3.4 juta akan diguna bagi melaksanakan satu projek SPASR dan 18 projek AGB menerusi Pelan Pusingan Bekalan Elektrik Luar Bandar Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia Sarawak (JMG) Bagi Tahun 2013 – 2014.

“Empat projek AGB juga telah dicadang untuk dibina oleh pihak JMG di kawasan Lubok Antu dengan kos bernilai RM610,000. Maka jumlah keseluruhan bagi projek ini di sini ialah RM4.01 juta ,” kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Katanya projek tersebut akan dilaksana di Rumah Juan, Nanga Gemah, Ulu Lemanak / Rumah Dau, Nanga Entalau / Rumah Bau, Nanga Lalang, Rumah Jemat Nanga Tiga, Lemanak dan Rumah Jelani Darai, Ulu Skrang / Rumah Morris Soh / Rumah Igar Bukit Tungku.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Rasmi Sistem AGB Rumah Lepang Gerang, Sayat dan AGB Rumah Tan Tumba, Seremat di Rumah Lepang Gerang, Lubok Antu kelmarin.

Selain itu beliau juga berharap agar pihak JMG dapat mengkaji lebih banyak sumber air graviti dan air bawah tanah di sekitar rumah panjang atau kampung dalam kawasan Lubok Antu selepas ini.

Pihak JMG kata Nyalau dapat melaksanakan kajian seperti ini menerusi peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

“Justeru kita berharap agar rakyat di kawasan luar bandar tahu bahawa ia merupakan salah satu usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memajukan taraf hidup mereka dari segenap segi bermula dari dahulu hingga sekarang,” katanya.

Majlis penyerahan projek AGB yang berlangsung di Rumah Lepang Jawa itu juga turut dihadiri oleh Pengarah Mineral Dan Geosains Sarawak, Alex Unya Ambun, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.


Terdahulu projek AGB Rumah Lepang Sayat, Engkilili telah dibangunkan pada 2011 dengan kos RM70,000 manakala projek AGB Rumah Tan Tumba, Seremat pula dinaiktaraf pada 2011 dengan kos bernilai RM50,000.

Tamat…

No comments:

Post a Comment