Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, May 16, 2012

Gembleng tenaga benteras pembabitan belia dalam jenayah



Caption: SERIUS...Datuk Harden ketika menyampaikan amanat ketika berlangsungnya majlis penutupan program tersebut di Taman Sentosa, Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (12 Mei) – Semua pihak perlu mengembleng tenaga dan memainkan peranan penting masing-masing bagi memastikan golongan belia di kawasan mereka tidak terjebak dalam aktiviti jenayah dari masa ke semasa.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Dialog Bersama Pasukan Polis Diraja Malaysia IPD Sri Aman di Rumah Terence Ajit, Taman Sentosa Sri Aman hari ini.

Katanya golongan belia pada masa sekarang mudah terdedah kepada pengaruh aktiviti sosial tidak bermoral yang boleh menjurus penglibatan mereka dalam aktiviti jenayah selepas itu.

“Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mengadakan pelbagai program untuk menyedarkan para belia tentang betapa pentingnya masa depan hidup mereka tanpa penglibatan dalam aktiviti jenayah.

“Usaha seperti itu perlu dimulai sekarang kerana kerajaan tidak mahu faktor terbabit boleh menyebabkan belia kita menjadi ‘rosak’ dan seterusnya mencacatkan usaha pembangunan negara di masa akan datang,” katanya.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang meminta JKKK mempertingkatkan hubungan kerjasama dengan pihak polis bagi menjaga tahap keselamatan di kawasan penempatan mereka.

JKKK kata beliau perlu menasihatkan penduduk untuk sentiasa peka terhadap aktiviti jenayah di sekeliling mereka dan seterusnya melaporkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan selepas itu.

“Sebab itulah JKKK ada membawa perkataan ‘Keselamatan’. Justeru saya berharap agar JKKK mempertingkatkan fungsi masing-masing dalam membantu pihak polis untuk menjaga keselamatan di kawasan mereka selepas ini,” katanya.

Terdahulu Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada JKKK Raban Dayak Taman Sentosa untuk kegunaan mereka.

Hadir sama ialah Ketua Polis Balai IPD Sri Aman, Inspektor Jamaludin Abdul Latiff, Pengerusi JKKK Raban Dayak Taman Sentosa, Terence Ajit, para anggota polis IPD Sri Aman dan penduduk di situ.

Tamat.



No comments:

Post a Comment