Caption:
1.TERHIBUR...Masir (tengah) sedang tetamu khas ketika menyaksikan program
berkenaan di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.
2.BERTENAGA...Inochi sedang mempersembahkan lagu ketika berlangsungnya
program tersebut malam tadi.
SRI AMAN, Isnin (21 Mei) – Semangat muhibah dan permuafakatan menjadi tunjang
kekuatan integrasi nasional dalam mewujudkan masyarakat pelbagai kaum yang
dinamik di negara ini.
Justeru Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat mahu semangat seperti itu
dikekalkan demi membolehkan masyarakat majmuk di negara ini hidup secara aman
dan harmoni disamping berpegang teguh kepada tradisi budaya dari masa ke
semasa.
“Misalnya perayaan Gawai Dayak yang akan berlangsung pada 1 Jun ini patut
diraikan bersama dengan masyarakat bukan Dayak demi mewujudkan semangat
perpaduan yang tinggi dikalangan mereka.
“Semangat perpaduan yang utuh dikalangan masyarakat majmuk ini akan dapat
memberi manfaat kepada negara kita khasnya dari segi perlaksanaan projek pembangunan
di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Rakaman Pentas
Gawai Dayak 2012 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman yang
berlangsung di Mini Stadium Sri Aman malam tadi.
Selain itu beliau menyeru semua lapisan masyarakat perlu mengamalkan
semangat 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak demi masa depan pembangunan negara ini.
“Saya juga mengajak masyarakat majmuk di kawasan Sri Aman untuk terus
menyokong teguh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 akan datang,” katanya.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, wakil Pengarah
Penyiaran Sarawak, Faridah Sulong dan Pengurus Stesen RaSA FM (RTM Sri Aman),
Valentino Jefferyson Munjan.
Terdahulu Program Rakaman Pentas Gawai Dayak 2012 tersebut telah diserikan
lagi dengan persembahan nyanyian lagu oleh Ernesto, Inochi Austin, Nor, Renny
Pet, Bob AF, Penny Yang dan Hafiza Azura.
Program yang dihadiri sekitar 500 orang penduduk itu turut dimeriahkan
dengan persembahan khas oleh Bunyau dan Mujab iaitu watak lawak segmen popular
dari stesen radio Wai FM.
Tamat.
No comments:
Post a Comment