Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, May 25, 2012

Enam orang mati dalam dua kemalangan berbeza di Sri Aman

Caption:

SRI AMAN, Jumaat (18 Mei) – Enam orang dilaporkan terbunuh dalam dua kes kejadian kemalangan yang berlaku di kawasan Jaong, Pantu dan San Raba, Batu Lintang di Sri Aman pada lewat petang hari ini.

Bagi kes kemalangan pertama, lima orang lelaki sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Sri Aman dengan menggunakan kenderaan Toyota jenis Ninja King sekitar jam 4.15 petang.

Ketika tiba kawasan simpang jalan masuk menuju ke Jaong, iaitu 73 kilometer dari pusat Bandar Sri Aman, kenderaan yang dinaiki oleh semua mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah treller yang datang dari arah Sri Aman.

Kesemua lima orang mangsa yang dilaporkan masih bujang itu dipercayai mati serta-merta di tempat kejadian dengan seorang pemandu kenderaan Proton Saga mengalami kecederaan ringan apabila turut melanggar belakang kenderaan mangsa tersebut.

Sementara itu di San Raba, Batu Lintang, seorang wanita dari Sarikei telah terbunuh serta-merta di tempat kejadian apabila kenderaan Proton Saga yang dipandu olehnya bertembung dengan sebuah treller pada jam 4.30 petang.

Mangsa yang sedang memandu dari arah Sri Aman menuju ke Betong itu dipercayai cuba memotong tiga buah kenderaan di kawasan tersebut namun gagal sehingga menyebabkan kenderaannya bertembung dengan treller terbabit.

Manakala itu kenderaan Isuzu Dmax yang digagal dipintas oleh mangsa pula terus terbabas ke dalam parit berkenaan namun tidak mendatangkan sebarang kecederaan terhadap penumpang dalam kenderaan itu.

Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa satu kejadian kemalangan membabitkan kenderaan Perodua Kelisa dan Toyota Avanza telah berlaku di Sedarat, Lubok Antu petang hari ini namun tidak mendatang kecederaan serius terhadap kedua-dua pihak.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh ketika dihubungi pemberita telah mengesahkan berlakunya kejadian kemalangan maut terbabit di kawasan Jaong, Pantu.

Tamat.













No comments:

Post a Comment