SRI AMAN, Selasa (8 Mei) – Satu kempen gotong-royong telah diadakan pada hari ini
dengan sasaran untuk menjaga kebersihan di setiap kemudahan pelancongan yang
terdapat dalam kawasan Bandar Sri Aman.
Kempen gotong-royong anjuran Pejabat Residen Bahagian Sri Aman ini telah
berlangsung di Taman Panorama Benak bermula jam 3.15 petang sambil membabitkan
seramai 300 orang peserta dari bandar ini.
Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Felicia Tan Yian Hua ketika ditemui
Utusan Sarawak memberitahu kempen ini menekankan betapa pentingnya peranan para
penjawat awam untuk menjaga tahap kebersihan kemudahan tersebut.
“Bandar Sri Aman kini sudah cukup terkenal dengan penganjuran Pesta Benak
dan ia secara tidak langsung menuntut tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama
menjaga kebersihan kemudahan pelancongan dalam bandar ini.
“Justeru diharap agar kempen seperti ini dijadikan sebagai satu budaya
dikalangan para penjawat awam dan orang ramai untuk sentiasa menjaga kemudahan
pelancongan kita di sini pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu kempen gotong-royong berkenaan telah dibahagikan kepada tiga zon
iaitu Taman Panorama Benak, Kubu Alice hingga Tua Pek Kong Cina dan kawasan
bangunan Tua Pek Kong sekitarnya.
Kempen tersebut kemudiannya berakhir sekitar jam 4.30 petang dengan kesemua
peserta telah mengambil bahagian untuk menjayakan aktiviti Senamrobik
bersempena dengan program terbabit.
Tamat.
No comments:
Post a Comment