Caption: TAHNIAH...Masir sedang menyampaikan insentif pendidikan kepada
wakil penerima sambil disaksikan oleh Lugoh (tengah) dan Roselyn (dua kanan)
pada majlis itu malam tadi.
SRI AMAN, Ahad (20 Mei) – Rakyat diminta untuk menilai sendiri sumbangan kerajaan
pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam memajukan hidup mereka selepas ini kata
Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.
Katanya kemajuan yang dikecapi oleh rakyat khasnya di Sarawak pada masa
sekarang menjadi bukti bahawa kerajaan BN telah berhasil memajukan hidup mereka
dan bukannya pembangkang.
“Kerajaan pimpinan BN telah membuktikan keupayaan mereka untuk memerintah
negara ini termasuk Sarawak dengan mewujudkan kestabilan politik yang
membolehkan Sarawak menikmati kemajuan pesat pada masa sekarang.
“Justeru saya meminta rakyat menyayangi nikmati kemajuan yang mereka kecapi
sekarang dengan menyokong sepenuhnya BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU13) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak
2012 anjuran Sarakup Induk Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman di Dewan
Suarah Sri Aman malam tadi.
Selain itu Masir juga meminta rakyat berketurunan Dayak untuk mencapai
tahap intelektual yang tinggi seiring dengan kemajuan negara menjelang tahun
2020 akan datang.
“Orang Dayak perlu menguasai ilmu intelektual yang tinggi agar mereka mampu
bersaing dengan rakyat dari lain-lain kaum bagi merebut pasaran kerja bertaraf
profesional pada tahun tersebut.
“Kita tidak mahu orang Dayak ketinggalan hanya disebabkan oleh faktor ini.
Jika mahu menikmati kemajuan yang dirasai oleh lain-lain kaum maka saya meminta
mereka agar serius dalam mencapai usaha berkenaan selepas ini,” katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan
Lugoh, Pengurus Dewan Suarah Sri Aman, Nelson Jinn, Pengerusi SIDS cawangan Sri
Aman dan Roselyn Abunawas.
Majlis pada malam tadi turut diserikan dengan Pertandingan Kumang Gawai
Dayak 2012, jamuan makan malam, persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian
karaoke oleh para hadirin.
Tamat.
No comments:
Post a Comment