Caption: MASIH RAMAI...Gambar pada jam 2 pagi tadi menunjukkan pelanggan
masih menikmati makanan dan minum bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri
Aman.
SRI AMAN, Sabtu (7 April) – Sememangnya tidak dinafikan bahawa sambutan Pesta Benak
akan memberi rezeki kepada para peniaga di dalam Bandar Sri Aman ketika ia
dianjurkan pada setiap tahun.
Kedatangan ribuan orang pengunjung luar ke bandar ini bagi menyaksikan
sambutan Pesta Benak adalah merupakan satu peluang yang tidak akan dilepaskan
oleh para peniaga untuk meraih keuntungan lumayan.
Atas sebab inilah Restoran Elison Seafood yang berpangkalan di Jalan
Hospital, Sri Aman telah membuka operasi restorannya selama 24 jam tadi bagi
memberi peluang kepada pelanggan yang mahu makan dan minum pada waktu lewat
malam.
“Saya memulakan operasi membuka restoran ini selama 24 jam bermula malam
tadi demi memastikan pengunjung mendapat lokasi makan dan minum yang berdekatan
dengan tapak sambutan pesta terbabit,” kata pemiliknya iaitu Elison anak
Lingoh, 50 tahun.
Restoran Elison Seafood yang hanya beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12.30
tengah malam sebelum ini katanya akan tamat waktu operasi 24 jam pada 8 April
iaitu pada hari terakhir sambutan Pesta Benak.
Dengan hanya bantuan lima orang tenaga kerja, beliau yakin akan dapat
melayan kesemua pelanggan yang datang berkunjung ke restorannya tanpa mengira
waktu sehingga 8 April ini.
“Saya hanya mendapat peluang seperti ini selama dua hari dalam tempoh
setahun. Justeru saya sanggup mengorbankan masa operasi dan rehat ahli keluarga
demi meraih peluang seperti acapkali menjelang sambutan Pesta Benak pada setiap
tahun,” katanya.
Tinjauan rambang Utusan Sarawak malam tadi mendapati bahawa Restoran Elison
Seafood terus menerima kedatangan puluhan orang pengunjung menjelang jam 3 pagi
tadi.
Tamat.
No comments:
Post a Comment