Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Imigresen LATK adakan sukaneka



Caption: TERIMALAH...Datu Robert sedang menyampaikan cendaramata kepada PIT(I) Malik, Timbalan Ketua Pasukan Kumpulan DeLTA sambil diperhatikan oleh TPPI(I) Ijah (kiri) dan Nelson Naga (tengah).

KUCHING, Ahad (22 April) - Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LATK) telah menganjurkan Mini Karnival Sukan Dalaman LTAK yang berlangsung sepanjang bulan April bagi tahun 2012 di sini baru-baru ini.

Jurucakap Jabatan Imigresen LTAK, Nelson Naga Alam menerusi siaran medianya kelmarin memberitahu seramai 146 orang pegawai bertugas di pejabat itu telah mengambil bahagian dalam mini karnival kali kedua berkenaan.

“Kali pertama mini karnival ini diadakan ialah pada bulan Disember 2009. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim di kalangan pegawai dalam satu keluarga Jabatan Imigresen Malaysia.

“Karnival ini juga secara tidak langsung akan dapat menyemarakan lagi semangat pasukan disamping mewujudkan lagi hubungan kerjasama yang erat dan bersatu padu di kalangan semua pegawai selepas ini,” katanya.

Terdahulu Mini sukan dalaman LTAK ini telah diurus oleh Badan Kebajikan Dan Sukan Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang telah ditubuhkan pada bulan Jun 2009.

Menerusi karnival ini para pegawai telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang diketuai oleh Norhayati Perseh (Kumpulan Antap Warriors), Wong Yieng Ching (Kumpulan Bravo), Mehuen Runies (Kumpulan Charlie) dan Ijah Jumpok (Kumpulan DeLTA).

Sebanyak tujuh jenis sukan  dalaman  telah dan sedang dipertandingkan sepanjang bulan April ini antaranya ialah Pertandingan Futsal, Boling, Karom, Dart, Batu Seremban, Congkak dan Gusti Lengan.

Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Datuk Robert Lian telah merasmikan Majlis Pelancaran Mini Sukan Dalaman Jabatan LTAK pada 10 April lalu bertempat di Pusat Sukan Stakan, Kuching.

Beliau mengucapkan syabas Pejabat  Imigresen LTAK kerana ia satu-satunya pejabat imigresen negeri ini yang berjaya menganjurkan Mini Karnival Sukan Dalaman  untuk pegawai-pegawainya yang bertugas di LTAK.

“Pegawai Imigresen perlu melibatkan diri dalam sukan supaya mereka kelihatan lebih sihat dan cergas ketika menjalankan tugas-tugas harian sehingga membolehkan mereka menjadi golongan penjawat awam yang sihat.

“Justeru saya berharap Mini Karnival Sukan Dalam LTAK dilaksana berlandaskan kepada semangat kesukanan yang tulen disamping Mini Karnival Sukan Dalaman sebagai acara tahunan selepas ini,” katanya.

Majlis Penutupan Mini Karnival Sukan Dalaman Jabatan Imigresen LATK ini akan diadakan pada 28 April di sebuah hotel yang terkemuka dalam Bandaraya Kuching menerusi Majlis Makan Malam dan beberapa acara menarik termasuk penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Tamat

No comments:

Post a Comment