Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Joshua Ijau tunai tanggungjawab sosial untuk belia



Caption: SERONOK...Para belia dari Rumah Sait, Selepong Lop sedang bermain sepak takraw di atas gelanggang baru sepak takraw yang dibina secara individu oleh Joshua Ijau sebelum ini.

SRI AMAN, Isnin (2 April) – Rakyat umumnya selalu mendengar bahawa terdapat persatuan atau syarikat swasta tertentu yang sering melaksanakan tanggungjawab sosial mereka terhadap kebajikan hidup rakyat selama ini.

Namun begitu individu yang tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing demi membantu kebajikan hidup rakyat melainkan sebab politik amatlah jarang didengar oleh semua pihak selama ini.

Di Rumah Sait, Selepong Lop, Sri Aman, seorang kakitangan kerajaan telah menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk golongan belia di situ dengan membina sebuah gelanggang sepak takraw bagi kegunaan mereka.

Sumbangannya mungkin tampak kecil namun jika dinilai secara mendalam, kita akan mendapati bahawa amat jarang individu yang sanggung mengeluar sejumlah besar wang simpanannya sendiri bagi membina gelanggang sukan demi belia kampung.

“Kisahnya bermula apabila saya sering memerhatikan para belia kampung (Rumah Sait, Selepong Lop) meluangkan waktu lapang mereka dengan bermain sepak takraw di atas tanah pada setiap waktu petang.

“Faktor ini telah menimbulkan niat saya untuk mengeluarkan wang saku sendiri bagi membina gelanggang sepak takraw yang baru demi kegunaan mereka,” kata Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua anak Ijau.

Beliau yang juga merupakan anak jati kampung Selepong Lop telah membawa semua belia kampung untuk bergotong-rotong membina gelanggang sepak takraw di situ selama satu minggu sebelum ia mula digunakan semenjak sebulan lepas.

Projek pembinaan gelanggang sepak takraw terbabit kata Joshua merupakan kejayaan manis bagi beliau yang secara tidak langsung telah mendidik para belia kampung untuk mengamalkan gaya hidup sihat selepas ini.

“Seorang kakitangan kerajaan juga perlu menunaikan tanggungjawab sosial. Justeru saya berharap agar lebih ramai individu mencontohi usaha seperti ini demi kebajikan belia kampung pada masa akan datang,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment