Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, April 7, 2012

Peniaga Kecil Sarawak bantah sewa tapak lot Pesta Kaul 2012


Caption: BANTAH..Para peniaga kecil sedang menunjukkan sepanduk masing-masing sebagai tanda bantahan mereka terhadap kadar sewa tinggi yang dikenakan oleh pihak penganjur Pesta Kaul ketika berlangsungnya protes aman di Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Khamis (5 April) – Lebih 60 orang peniaga kecil telah mengadakan protes secara aman di kawasan lampu isyarat dalam Bandar Sri Aman pada hari ini ekoran bayaran sewa terlalu tinggi yang dikenakan oleh pihak penganjur Pesta Kaul Mukah 2012.

Wakil peniaga, Ghani Abdul Rahman ketika ditemui berkata tempoh berniaga terlalu lama iaitu selama sembilan hari bermula dari 21 hingga 29 April ini telah menyebabkan kadar sewa lot tapak karnival Pesta Kaul melambung tinggi.

“Tempoh terlalu lama berniaga dengan kadar sewa tapak sehingga RM450 (untuk satu tapak lot bagi tempoh sembilan hari) adalah tidak wajar dengan waktu kemuncak sambutan Pesta Kaul hanya empat hari dan bukannya sembilan hari.

“Atas sebab ini wakil peniaga dari Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri, Sarikei dan Mukah membantah sekeras-kerasnya kadar sewa terbabit memandangkan ia akan membebankan kami dari segi kos penginapan, gaji pekerja dan makan minum,” katanya.

Selain itu para wakil peniaga kata Ghani juga pernah cuba menyelesaikan masalah ini dengan mengemukakan petisyen, surat bantahan harga dan permohonan untuk pengurangan harga sewa kepada Residen Bahagian Mukah pada 26 Mac lepas.

Demi mendapatkan kepastian, wakil peniaga iaitu Ustaz Adie katanya telah menghubungi pihak Residen sebelum mereka boleh dimaklumkan tentang keputusan perkara itu dalam tempoh seminggu menerusi mesyuarat yang berlangsung pada 2 April lepas.

“Bagaimanapun  pihak Majlis Daerah Dalat Mukah telah menyatakan pendirian mereka untuk tidak mengubah kadar sewa bagi sambutan Pesta Kauh terbabit apabila dihubungi oleh pihak kami kelmarin (4 April).

“Atas sebab ini pihak kami merayu pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut selepas ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan protes aman ke seluruh Bahagian dalam negeri ini jika tidak mendapat maklumbalas berhubung perkara terbabit dalam tempoh tiga iaitu bermula dari sekarang (5 April).

“Untuk pengetahuan anda, hampir 80 peratus daripada 300 orang peniaga kecil yang sering menjual produk mereka ketika sambutan Pesta Kaul pada setiap tahun telah bertindak memboikot kadar sewaan tapak tersebut bagi sambutan kali ini.

“Justeru kami selaku penyokong kuat BN dan wakil kepada semua peniaga kecil Bumiputera dan Bukan Bumiputera di negeri ini berharap agar pihak kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah terbabit mulai sekarang,” katanya.

Terdahulu kumpulan Wakil – Wakil Peniaga Kecil Sarawak terbabit telah mengadakan protes aman mereka sambil memegang sepanduk di kawasan lampu isyarat bermula dari jam 9.55 pagi sebelum ia berakhir pada jam 10.10 pagi.

Tamat.

No comments:

Post a Comment